KOTA BHARU - Penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan oleh Pas dan UMNO disifatkan sebagai formula terbaik, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, ini kerana penyatuan ummah itu bukan hanya terhad kepada parti-parti tertentu sahaja, sebaliknya ia boleh disertai oleh mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.
"Oleh sebab itu, Pas masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah ini membabitkan semua pihak terutamanya parti-parti Melayu Islam, parti bumiputera dan juga parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi bekas jurulatih Kelantan FA yang juga legenda penyerang prolifik negara era 90-an, Hashim Mustapha di kediamannya dekat Kampung Guchil Bayam, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, penyatuan ummah amat diperlukan untuk menjadikan negara ini lebih baik dan harmoni pada masa depan.
"Kita memerlukan kepada penyatuan dan juga perkongsian kuasa untuk semua etnik, kaum, bangsa, agama di negara kita," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, ia adalah warna-warna politik di negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.
"Terpulang kepada mereka... yang penting Pass jelas dari segi hala tuju dan persiapan kita juga lebih jelas," katanya.
Media sebelum ini melaporkan sebuah gabungan baharu diberi nama Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan ditubuhkan dengan hasrat menumbangkan Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - Bernama
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment