Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Nasrudin Hassan, sekali lagi mengemukakan 'formula' bagi melaksanakan "penyatuan ummah" yang jelas merujuk kepada hubungan parti itu dengan Umno.
Dalam hantaran dimuat naik Nasrudin pagi ini, dia menyenaraikan tiga 'formula' agar hubungan yang kini semakin tegang itu dapat dijernihkan semula.
Langkah pertama yang disarankan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu ialah meminta semua pihak tidak lagi berbalas serangan melalui media.
"Ia tindakan yang merugikan umat Islam. Berkelahi di tengah balai, disaksikan oleh jutaan masyarakat termasuk non Muslim hanya mempamerkan sudut negatif terhadap Islam.
"Tidak bosankah kita asyik berkelahi sesama umat sepanjang zaman? Tidak rindukah kita pada kedamaian dan ketenangan?" katanya.
Tambah bekas ahli parlimen Temerloh itu lagi kesan daripada tindakan tersebut turut melibatkan kestabilan politik dan ekonomi negara.
"Kita tidak mahu kuasa politik dan ekonomi terlepas dari pegangan umat Islam ekoran perpecahan ummah yang berpanjangan," katanya.
Kemunculan 'formula' Nasrudin itu dibuat sehari selepas Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, mencadangkan agar pemimpin PAS membubarkan parti itu kerana dilihat tidak lagi diperlukan.
Kata Ahmad, ketika ini Umno sudah mencukupi untuk membawa wadah perjuangan Islam, khususnya selepas perlembagaan parti terbabit dipinda pada 2019.
Nasrudin berkata sikap telunjuk lurus kelingking berkait juga perlu dielakkan serta tidak membuat kenyataan yang menyalahkan pihak lain.
"Jangan menulis atau berucap dengan rasa marah dan panas.
"Rasa puas hati (apabila) boleh membidas, rasa bangga boleh memukul lawan dan seronok mengungkap kesilapan mereka. Kerana tentunya, ia akan mengundang kenyataan balas untuk mempertahankan diri. Maka, sampai bila?
"Justeru itu, semua pihak mesti cool and steady. Buka lembaran baru. Cipta rekod baru. Bina masa depan yang baru. Lakukan tajdid (pembaharuan) dan taghyir (perubahan) ke arah politik Islam berwajah Malaysia yang baru," katanya lagi.
Beza sedikit, sama banyak
Turut disenaraikan Nasrudin ialah semua pihak mengelak daripada "terperangkap dalam permainan musuh Islam" dan mengaitkan hal itu dengan sesetengah media yang didakwanya mempunyai warlord yang mengatur rencana sendiri.
Kata Nasrudin, elakkan terpedaya dan percaya lalu mengulas hanya berdasarkan olahan dan ulasan media yang dipengaruhi oleh warlord berkenaan.
'Formula' keempat dicadangkan Nasrudin ialah menggesa semua pihak yang berkenaan bertemu dalam suasana berkasih sayang untuk "menyatukan ummah."
"Meskipun berbeza ideologi politik, kita masih ada asas untuk bersatu. Apatah lagi yang beza itu hanya sedikit sedang yang sama itu banyak.
"Paling tidak kita berdiri dia atas point yang kita tetap sama padanya, iaitu agama kita sama, tuhan kita sama, nabi kita sama, kiblat kita sama dan kitab kita sama.
Maka perbezaan apa yang menyulitkan kita untuk bertemu, berbincang dan menyatukan ummah sehingga kita merelakan musuh Islam melebarkan cengkaman kuasa dan pengaruh mereka ke atas umat Islam," katanya.
Untuk rekod ini bukanlah kali pertama Nasrudin tampil menawarkan 'formula' politik untuk mengharmonikan PAS dengan Umno.
Pada 2 Nov tahun lalu - ketika menjelang Pilihan Rraya Negeri Melaka diadakan - dia menawarkan idea "gelang kerjasama" untuk meredakan ketagangan hubungan PAS-Umno.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment