NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengendalikan Sikap Anak Kerap ‘Mengamuk’


Soalan: Anak saya berusia 2 tahun setengah. Sejak kebelakangan ini , dia kerap sangat ‘mengamuk’. Dia kerap menangis dan menjerit-jerit apabila kehendaknya tidak dipenuhi. Ini kerap berlaku terutamanya di tempat awam dan saya tidak tahu bagaimana hendak menangani sikapnya ini. Boleh doktor terangkan langkah langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini (Sharifah)

Jawapan: Kemahiran Keibubapaan – Mengendalikan Tantrum

Tantrum adalah perkara yang biasa di kalangan kanak-kanak berusia 18 – 48 bulan. Tantrum adalah sesuatu yang normal tetapi mencabar kesabaran ibubapa. Tantrum boleh berlaku dalam bentuk kemarahan, kekecewaan, dan tingkah laku yang mencabar. Anak anda boleh menjerit, menangis, menendang, memecahkan barang-barang, berkelakuan ganas dan kadangkala, menahan nafas mereka.

Pada umur lebih kurang dua tahun, kanak-kanak akan menguji had kesabaran ibubapa dan mereka tidak boleh melihat sesuatu perkara dari pandangan orang lain. Mereka ingin bebas untuk meneroka persekitaran mereka. Pada masa yang sama, ibubapa atau guru-guru meletakkan had tertentu kerana keselamatan atau sebab-sebab lain. Jika ini berlaku, mereka merasa kecewa kerana mereka mahu lakukan apa yang mereka mahu. Apabila mereka kecewa, mereka menunjukkan kekecewaan dan kemarahan mereka dengan menangis, memukul dan menjerit. Mereka belum mempunyai kemahiran untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam cara lain. Oleh itu, tantrums adalah peluang yang baik untuk kanak-kanak belajar bagaimana mengendalikan kekecewaan dan kemarahan.

Selalunya, kanak-kanak akan hentikan tantrum bila mereka dapat apa yang mereka mahu. Tingkah laku dan reaksi ibubapa juga menyumbang kepada berapa kerap tantrum akan berlaku. Kanak-kanak akan lebih cenderung melakukan tantrum jika ibubapa memberikan apa sahaja yang mereka mahukan atau jika ibubapa memberi perhatian yang lebih kepada tingkahlaku yang negatif.

Lihat tantrum secara positif! Tantrum adalah peluang baik bagi kanak-kanak mempelajari bagaimana menguruskan kekecewaan dan kemarahan, dan juga peluang yang baik bagi ibubapa untuk mengajar anak-anak mengenai kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi kekecewaan dan kemarahan.

Bagaimana mengendalikan kanak-kanak dengan tantrum?

Ketika anak anda sedang melakukan tantrum, pastikan perkara-perkara dibawah:

  • Pastikan anak anda selamat.
  • Pastikan anda sentiasa tenang, dan jangan beri perhatian kepada tingkahlaku tersebut.
  • Jangan hukum anak anda.
  • Jangan berikan ganjaran.
  • Jika boleh, asingkan anak anda.
  • Jangan biarkan reaksi orang lain mempengaruhi bagaimana anda memberi tindakbalas kepada tantrum itu.

Menghukum kanak-kanak kerana tantrum, dengan menjerit atau memukul; akan menyebabkan tantrum akan menjadi lebih teruk dalam jangkamasa pendek dan menyebabkan tingkahlaku tantrum kekal dalam jangkamasa panjang. Jika ibubapa berikan apa yang anak mahukan sebagai satu cara untuk menghentikan tantrum, tantrum akan menjadi lebih teruk lagi. Jika ibubapa melakukan perkara ini, ibubapa sebenarnya mengajar anak-anak untuk menggunakan tantrum untuk memanipulasi keadaan, dan menyebabkan tingkah laku ini berterusan hingga ke dewasa.

Abaikan tantrum. Ini adalah cara yang terbaik untuk mengendalikan tantrum. Ibubapa akan mengajar anak-anak bagaimana untuk mengendalikan kemarahan dan kekecewaan. Cari punca apa yang menyebabkan tantrum. Dengan mengetahui apa puncanya, ibubapa boleh bertindak sebelum anak-anak gagal mengawal emosi mereka.

Ibubapa boleh menggunakan ‘time-out’ jika anak-anak berumur dua tahun atau lebih. ‘Time-out’ adalah cara terbaik jika mereka yang faham mengapa ia digunakan. ‘Time-out’ akan menjauhkan kanak-kanak dari situasi yang sukar dan akan memberi masa untuk dia bertenang. Ia juga mengajar kanak-kanak bahawa tantrum adalah satu tingkah laku yang tidak boleh diterima.

Apa yang perlu ibubapa dilakukan jika tantrum berlaku di rumah?

Apabila kanak-kanak melakukan tantrum di rumah, ibubapa perlu tenang. Bawa anak anda ke tempat yang selamat untuk dibiarkan bersendirian. Tinggalkan bilik, tutup pintu, dan datang semula hanya jika anak tersebut kembali tenang. Jika anda bimbang untuk tinggalkan anak anda berseorangan, anda boleh duduk berhampiran dengannya tetapi jangan berikan sebarang tindakbalas terhadapnya. Jangan pandang anak anda. Bila dia kembali tenang, bercakap dan berbincang dengan anak anda mengenai kelakuannya.

Apa yang perlu ibubapa dilakukan apabila tantrum berlaku di tempat awam?

Bawa anak anda keluar dari kawasan awam sekiranya boleh. Bawa dia ke tempat yang ada privasi. Tempat terbaik adalah di dalam kereta, di tempat duduk bayi. Anda boleh berdiri berhampiran kereta atau duduk di dalam kereta tanpa memberi sebarang bertindak balas kepada kelakuan itu. Apabila tantrum reda, bercakap dengan anak anda mengenai kelakuannya. Jika tantrum berlaku di tempat yang anda tidak boleh bawa anak ke tempat yang lain seperti didalam kapal terbang, pastikan anda tenang dan abaikan kelakuan anak anda. Sebaik sahaja anak anda tenang, bercakap dengannya mengenai kelakuannya.

Kanak-kanak akan belajar cara yang lebih sihat untuk mengendalikan emosi. Walau bagaimanapun, jika tantrums berterusan, dia mungkin perlu bantuan untuk mengatasi kemarahan.

 

Sumber: doktorbudak.com







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo