NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

LPT3 belum siap, salah siapa?

Tular berkenaan kesesakan jalanraya yang amat teruk di laluan Kelantan ke Terengganu semalam. Bayangkan jarak kira-kira 130km ke Tol LPT2 Gemuruh di Kuala Terengganu yang pada kebiasaannya hanya mengambil masa mungkin 90 minit, semalam menjadi sembilan jam. Malah dilaporkan ada pengguna lain mengambil masa lebih daripada itu untuk masuk ke LPT2.

Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu hanya dua laluan utama yang biasa iaitu melalui Jertih masuk melalui Pasir Putih dan Kuala Besut pula menuju ke Tok Bali. Kedua-dua jalan itu setakat ini masih dua lorong. Ya bak kata orang, jalan zaman Tok Kaduk dahulu lagi, itulah saiz jalannya. Akibat daripada kesesakan malam itu, banyak kereta tersadai kerana kehabisan minyak. Ada juga gosip yabg mendakwa sampai berkelahi laki bini dalam kereta. Lapar mungkin, atau anak merengek.

Jadi, salah siapa LPT3 sehingga sekarang masih belum dibina? Mungkin bagi saya, ia salah ahli Umno di Setiu dan Besut. Kedua-dua mereka ini adalah umpama tiang seri Umno Terengganu. Setelah kekalahan PAS Terengganu pada 2004 dahulu, Setiu dan Besut adalah penyumbang tetap empat kerusi Dun kepada Umno Terengganu. Malah ketika Umno kalah pada 2018 juga, mereka masih memberikan enam kerusi, masing-masing tiga kerusi dun untuk Umno.

Jajaran LPT3 pula bakal melalui Setiu dan Besut. Sedang dalam masa yang sama, ia akan diteruskan sehingga ke Tumpat, Kelantan. Dengan adanya LPT3, maka kedua daerah ini pasti akan mendapat juga limpahan ekonomi. Namun sayang, oleh kerana kesilapan mereka tetap memilih Umno dan tahu dendam Umno kepada Kelantan, tidak akan menyebabkan LPT3 dibina dan mereka juga yang menanggung rugi. Lagipun, penduduk Setiu dan Besut mempunyai ramai saudara mara di Kelantan. Jadi nanti yang akan mendapat manfaat, sanak saudara mereka juga.

Sangat menghairankan kerana sepanjang jalan dari Kemaman ke Kuala Terengganu, sudah mempunyai jalan empat lorong melalui jalan pantai. Manakala LPT2 melalui jalan dalam, walaupun ia beralun, berombak tanpa laut dan juga dirancang tanpa tol, serta melebihi bajet, tempoh, kontraktor lari, kadar kemalangan yang tinggi, malah menggunakan wang rakyat Terengganu sebagai pendahuluan. Namun ia tetap membantu menyuraikan kesesakan. Amat cepat pergerakan melalui jalan-jalan ini. 

Tetapi jalan ke Besut dan Setiu, sebagaimana yang saya telah terangkan tadi, saiz jalan itu tetap hampir sama, dua lorong seperti dahulu. Adakah Umno di Setiu dan Besut tiada harga di mata dua mantan MB selepas Dato' Seri Idris Jusoh dahulu? Kenapa pembangunan dialih dari Besut dan Setiu? Seharusnya dari dahulu mereka mendesak Ahmad Said dan Ahmad Razif untuk membina LPT3 supaya mereka juga dapat menikmati pembangunan. 

Bukankah mereka mendukung Umno kerana mahukan pembangunan? Jadi apa erti sokongan mereka kalau kepentingan mereka tidak dilayan. Atau ahli Umno juga mempunyai kasta? Jika ya, anda mungkin adalah kasta terendah dalam Umno. Seperti hamba abdi, memberikan undi tanpa balasan. Bukankah Ahmad Said menyatakan makna adil itu memberi dan menerima? "Tuan beri undi kita berilah bantuan, kalau tuan-tuan tak undi, kita tak berilah, betul tak?" Begitu ungkapan beliau. Jadi, di manakah "adil" versi Ahmad Said itu?

Antara lain lagi jika LPT3 disiapkan, maka kuranglah orang akan melalui jalan Tembila ke Kampung Raja. Sekaligus, akan kuranglah juga orang akan tahu bahawa di situ ada Taman Ilmu ciptaan Umno yang terbengkalai dengan memusnahkan RM400 juta wang rakyat. Manakala jika pengguna melalui jalan di bandar Jertih pula, mereka akan melihat pula kegagalan projek Jertih Souq yang juga berjumlah jutaan ringgit itu. Jadi air muka Umno Terengganu juga akan terpelihara, kan?

Bagi saya, ada lebih baik LPT3 dibina segera dan Adun Hulu Besut, Dato' Nawi Mohamad yang dalam Sidang Dun, memfitnah Kerajaan Terengganu tidak membina masjid sepanjang empat tahun ini, sedangkan ada, boleh menyewa papan iklan di LPT3 dan meletakkan wajahnya bagi tatapan pengguna di situ. Mungkin ia lebih baik daripada melihat Taman Ilmu dan Jertih Souq itu. Bukankah Nawi dahulu pernah namanya disebut-sebut sebagai MB? Sekarang mungkin peluang lebih cerah. Jadi, baik iklan cepat-cepat.

Mohd Nasir Abdullah
8 Mei 2022


............oo000oo...........
PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo