KUALA LUMPUR: Kenderaan menuju ke ibu negara menggunakan lebuh raya mula meningkat petang ini dengan kesesakan dilaporkan di beberapa lokasi untuk perjalanan dari utara, timur serta selatan.
Setakat jam 4 petang tadi, kesesakan hampir 2 kilometer dilaporkan berlaku di Leburaya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dari Kilometer (KM) 78.3 hingga ke Plaza Tol Karak.
Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata pihaknya mengesan peningkatan jumlah kenderaan menghala ke ibu negara dengan kesesakan turut dilaporkan berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK)
"Setakat jam 4.10 petang, kesesakan trafik sepanjang 14.3 kilometer dikesan berlaku Kilometer (KM) 76.9 hingga KM62.6 laluan Karak - Bentong.
"Kesesakan sepanjang 2.2 kilometer turut dikesan berlaku di KM 61.7 hingga 59.5 laluan Bentong - Lentang), manakala kesesakan 4.9 kilometer juga berlaku di KM58.4 hingga KM53.1 Lentang menghala ke ibu kota," katanya kepada BH, hari ini.
Katanya, pertambahan kenderaan ini mungkin disebabkan kebanyakan orang ramai mula pulang ke ibu negara untuk yang tidak bercuti panjang dan perlu memulakan tugas esok.
Dalam pada itu, kesesakan turut berlaku di Lebuhraya Utara Selatan, bermula petang tadi selepas laluan ke utara dan selatan lancar di kedua-dua hala pada sebelah pagi tadi.
Ketua Kecemerlangan Operasi Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata trafik di kedua-dua hala lancar pada sebelah pagi namun jumlah kenderaan mulai meningkat sekitar jam 11 pagi tadi.
"Ini kemungkinan berpunca daripada aktiviti masyarakat setempat yang menggunakan kemudahan lebuh raya untuk aktiviti ziarah Aidilfitri.
"Walau bagaimanapun, trafik bergerak perlahan di kawasan utara antara Gurun, Sungai Petani, Seberang Perai, Jawi termasuk Changkat Jering dan kawasan mendaki di Terowong Menora.
"Beberapa kawasan lain di antara Slim River menghala ke Bidor dan terus ke Gua Tempurung yang juga kawasan mendaki, trafik kini bergerak perlahan," katanya.
Dalam pada itu, katanya terdapat peningkatan trafik menghala ke ibu kota dari arah utara serta selatan dan trend itu dijangka akan berlarutan hingga ke malam.
"Kesesakan trafik dikesan berlaku di kawasan Pedas - Linggi, Ayer Keroh ke Simpang Ampat di kedua-dua arah, manakala trafik di Yong Peng serta Kulai juga semakin meningkat.
"Kita jangkakan jumlah kenderaan menuju pulang ke ibu negara akan semakin bertambah mulai petang ini hingga malam nanti," katanya.
Sumber | BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment