NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jika penyatuan ummah retorik, jadikan ia realiti


KUALA LUMPUR: Tanggapan penyatuan ummah adalah satu retorik perlu ditepis dengan menjadikan ia sebagai satu realiti.

Hal ini kerana, kekalahan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sehingga menyebabkan umat Islam hilang kuasa politik dalam negara, bukan suatu retorik.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ahmad Yahaya berkata, pandangan mengenai penyatuan ummah adalah sebuah retorik itu bergantung kepada tanggapan masing-masing.

Namun katanya, tanggapan itu boleh diubah menjadi realiti dan usaha ke arah penyatuan itu sememangnya menjadi tuntutan kepada umat Islam.

“Perpaduan ummah ini adalah satu tuntutan daripada Al-Quran sendiri, terlalu banyak tuntutan mengenainya, jadi kita mahu laksanakan tuntutan yang dituntut Allah, mustahil untuk kita anggap sebagai retorik?

“Jika satu perintah Allah tiba-tiba dianggap sebagai retorik, ia tidak wajar. Marilah kita realisasikan apa yang dituntut Al-Quran, iaitu saling berlapang dada dan ikhlas dalam usaha untuk melihat Islam dan umatnys terus mendapat sokongan rakyat,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Berpijak kepada realiti, Kata Ahmad, pengalaman semasa PRU lalu sepatutnya membuka mata bahawa kekalahan dan kehilangan kuasa untuk mentadbir bukan sebuah retorik. Beliau percaya, kekalahan itu berpunca daripada perpecahan.

“Adakah itu retorik? Itu tidak retorik, itu adalah realiti. Jadi, jika kita masih memilih untuk berpecah, kita akan saksikan realiti kehilangan kuasa politik sekali lagi.

“Maka, kuasa politik akhirnya akan berada di tangan orang yang tidak sepatutnya,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua pihak terutamanya parti politik dapat bersama menjadikan penyatuan ummah sebuah realiti seperti yang dituntut Allah SWT melalui Al-Quran.

Mengulas lanjut, kata Ahmad, perpecahan adalah senjata yang digunakan musuh untuk mengagalkan penyatuan ini.

Katanya, musuh akan sentiasa mencari jalan supaya umat Islam berpecah, termasuk menimbulkan perselisihan pendapat mengenai perbezaan mazhab.

“Jika kita mahu menggunakan senjata musuh sesama kita, terpulang. Tetapi kita sepatutnya saling menguatkan dan bukan menggunakan senjata musuh dan tembak sesama sendiri,” katanya.

Baru-baru ini Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua parti politik melakukan pengorbanan dan mengenepikan perbezaan politik untuk mereset semula negara.

Bagaimanapun Ahli Majlis Tertinggi Umno Dato’ Mohd Razlan Mohammad Raffi dilapor menganggap saranan Muhyiddin untuk penyatuan antara parti politik sekadar retorik. –HARAKAHDAILY 24/5/2022





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo