Nelayan Filipina memerhatikan kapal Pengawal Pantai China meronda perairan Beting Scarborough yang dituntut kedua-dua negara. - Foto REUTERS |
MANILA: Filipina memfailkan bantahan diplomatik dengan China kerana secara sebelah pihak mengisytiharkan larangan menangkap ikan di Laut China Selatan.
Filipina turut mengemukakan aduan gangguan dan pencabulan bidang kuasanya oleh pengawal pantai Beijing.
Kementerian Luar Filipina, dalam satu kenyataan, menuduh kapal China mengganggu misi penyelidikan saintifik marin serta penerokaan tenaga di dua tapak zon ekonomi ekslusif (EEZ) Filipina.
Dalam satu kenyataan lain, ia mengecam tindakan China yang mengenakan moratorium penangkapan ikan bertujuan menjana semula stok ikan iaitu larangan tahunan yang merangkumi perairan di dalam EEZ Vietnam dan Filipina.
Kementerian Luar Filipina berkata tindakan pengawal pantai itu 'tidak konsisten dengan laluan yang tidak salah dan jelas melanggar bidang kuasa maritim Filipina'.
Bantahan itu menunjukkan cabaran yang bakal dihadapi oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr, yang perlu mengimbangi usaha meneruskan hubungan ekonomi yang lebih kukuh dengan China dan pada sama, tidak dilihat menyerah kepada provokasi yang menyalahi undang-undang di laut oleh Beijing.
Kemenangan Marcos Jr pada pilihan raya 9 Mei lalu dilihat lebih memihak kepada Beijing berbanding Washington.
Minggu lalu, beliau berkata akan mempertahankan kedaulatan wilayahnya dan menentang pencerobohan China.
Ia kemudian diikuti oleh perbualan dengan Presiden China, Xi Jinping, di mana beliau berkata mahu meningkatkan hubungan dua hala ke tahap baharu.
Filipina dan China, dari segi sejarah, mempunyai hubungan bergejolak berhubung tuntutan Beijing terhadap wilayah yang luas dan kelakuan pengawal pantai serta armada perikanannya di Laut China Selatan.
Kawasan perairan itu membawa sekurang-kurangnya AS$2.4 juta (RM10.51 juta) pendapatan dari segi perdagangan laut setiap tahun. - REUTERS
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment