KUALA LUMPUR: Asas ekonomi kukuh dan pengurusan ringgit yang berhemah mampu menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), walaupun terdapat beberapa faktor sementara yang menyumbang kepada penyusutan nilai mata wang negara buat masa ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata berdasarkan faktor semasa, nilai ringgit dijangka kekal stabil dan terus mengukuh.
Ia antaranya disebabkan ringgit diuruskan secara aktif oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan turun naik ringgit adalah terkawal dan tidak keterlaluan supaya sektor ekonomi dapat membuat perancangan pelaburan serta perbelanjaan berdasarkan nilai ringgit yang lebih stabil.
"Sebenarnya, yang lebih penting adalah asas kukuh dalam ekonomi kita seperti prospek pertumbuhan ekonomi negara yang kekal teguh. Pengembangan sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021 dan 5.0 peratus pada suku pertama 2022 akan terus mendorong pengukuhan nilai mata wang ringgit.
"Ini turut dicerminkan oleh analisa terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengunjurkan perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 5.75 peratus bagi 2022, dipacu permintaan dalam negeri yang terpendam dan permintaan luar yang terus kukuh.
"Pada masa sama, jangkaan baki akaun semasa yang kekal dengan lebihan bermakna permintaan terhadap ringgit terus kukuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, komuniti penganalisa kekal yakin terhadap prospek pemulihan nilai mata wang ringgit yang akan kembali kukuh dalam masa terdekat dan ini digambarkan melalui unjuran pertengahan (median) dan purata oleh mereka antara suku kedua 2022 hingga suku pertama 2023.
"Melangkah ke hadapan, Kementerian Kewangan yakin prospek pertumbuhan ekonomi negara teguh. Bagi 2022, KDNK Malaysia dijangka akan berkembang antara 5.3 dan 6.3 peratus, dan ini akan menyumbang kepada kestabilan nilai ringgit.
"Kementerian Kewangan dan BNM akan terus memantau kedua-dua risiko kewangan dan bukan kewangan terhadap ekonomi negara serta memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia terus terpelihara," katanya.
Mengulas mengenai faktor sementara yang menyumbang kepada penyusutan ringgit, Tengku Zafrul memaklumkan, ia termasuk unjuran situasi dasar monetari dunia dan kecairan tunai global yang terus mengetat, menyebabkan kegusaran komuniti pelabur antarabangsa.
Hal itu mengakibatkan mereka memperuntukkan semula pelaburan dalam aset yang menjana hasil yang lebih tinggi di AS, seterusnya menyebabkan kejatuhan nilai pelbagai mata wang dunia, termasuk ringgit.
"Selain itu, prospek pertumbuhan China yang dijangka lebih lemah tahun ini akibat sekatan pergerakan di bandar utama, yang melemahkan mata wang Yuan, malah IMF menurunkan unjuran mereka kepada 4.4 peratus.
"Ini memberi impak kepada ringgit kerana jumlah dagangan Malaysia-China adalah besar, dengan eksport Malaysia ke China mewakili 10.7 peratus daripada KDNK, berbanding Indonesia (2.1 peratus) dan Thailand (1.3 peratus)," katanya.
Pada masa sama katanya, situasi ketegangan geopolitik dunia yang tidak menentu memberi tekanan kepada ekonomi seluruh dunia dan hal ini dicerminkan oleh nilai VIX atau "indeks ketakutan" pelabur yang meningkat kepada 25.7 mata (pada 29 Mei 2022), berbanding kadar purata sebelum ini iaitu 18 mata.
Beliau berkata, perkara itu menyebabkan pelabur beralih kepada 'aset selamat' seperti emas dan mata wang AS, yang menyebabkan tekanan menurun terhadap pelbagai mata wang, termasuk ringgit.
Sumber | BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment