Menjelang hari raya ni, dah tentulah ramai antara kita yang akan sediakan makanan Hari Raya macam ketupat, lemang dan sebagainya.
Hambarnya lah hari raya tanpa hidangan lemang dan rendang kan?
Lemang merupakan salah satu simbolik hari raya. Walaupun cara pembuatan lemang agak merumitkan tetapi menu ini menjadi kegilaan ramai. Buluh yang diisi dengan beras pulut dan santan yang dilapikkan dengan daun pisang perlu dibakar sehingga masak untuk menghasilkan lemang.
Korang jangan risau kalau tak tahu nak buat lemang, zaman sekarang dah moden. Korang beli je berderet orang berniaga lemang sekarang.
Tapi tak semua orang bernasib baik dapat lemang yang elok dimakan. Jadi kami kongsikan petua dan tips bagi memilih lemang yang elok dan terbaik untuk dimakan bersama keluarga di Hari Raya nanti.
1. Cari Gerai Lemang Yang Banyak Kayu Tersusun Untuk Dibakar
Apabila korang nampak gerai tersebut mempunyai banyak kayu api, itu bermaksud diorang memang bakar lemang-lemang tersebut di situ dan bukannya hanya mempamerkan lemang yang telah dikukus di tempat lain dekat dengan bara api.
2. Elakkan Gerai Yang Membakar Lemang Dengan Pallet Kayu
Kalau korang perasan, pallet kayu ni jarang dimamah anai-anai. Ini disebabkan pallet tersebut telah disembur dengan sejenis coating yang beracun. Jadi kalau korang nampak ada gerai yang membakar lemang dengan menggunakan pallet kayu, lebih baik jangan beli. Takut racun daripada pallet kayu tersebut meresap masuk ke dalam lemang.
3. Jangan Pilih Lemang Yang Terlalu Tebal Atau Terlalu Kecil
Jangan pilih lemang yang terlalu besar, walaupun korang rasa berbaloi sebab harga masih sama dengan yang lain, tapi kebarangkalian untuk ia tidak masak lebih tinggi. Ini kerana isipadunya yang lebih besar, membuatkan lemang tersebut susah nak masak. Boleh jadi, bahagian luar saja yang masak. Bila potong, dalamnya mentah.
Kalau lemang yang terlalu kecil pula, boleh jadi isinya keras, liat atau terlalu garing. Jadi kalau nak selamat, pilih saiz yang sedang-sedang saja.
4. Minta Peniaga Belah Lemang Bahagian Bawah Sebelum Beli
Selalunya, peniaga akan belah bahagian atas dan tunjuk pada pembeli untuk memperlihatkan lemang tersebut sudah masak. Tetapi lebih baik kalau korang minta diorang belah bahagian bawah lemang.
Secara logiknya, kalau bahagian bawah lemang dah masak, bahagian atas pasti dah masak. Berlawanan pula kalau potong di bahagian atas dan nampak dah masak, bahagian bawah boleh jadi masih mentah.
5. Perhatikan Bahagian Kepala Santan
Korang mungkin perasan bahagian atas lemang bentuknya pelik sikit. Ini disebabkan segala lemak-lemak daripada santan berkumpul dan mendidih di bahagian atas. Selalunya ia dipanggil kepala santan. Bahagian ini selalunya digemari ramai sebab rasanya lebih berlemak dan sedap.
Masa nak beli lemang, cari kepala santan yang dah kering sebab bila ia dah kering, lemang tersebut boleh disimpan dengan lebih lama. Paling lama, dua hari. Cuba hidu juga bahagian kepala santan untuk tahu ia dah basi atau belum. Biasanya kalau santan dah basi akan bau masam-masam sedikit seperti santan yang dah tak elok
6. Minta Diskaun Bila Beli Banyak
Lumrah bila kita beli dalam kuantiti banyak, mestilah kena cuba untuk dapatkan diskaun, bukan? Contohnya kalau beli 3 batang lemang, tu dah nak dekat RM50 lebih. Bolehlah cuba minta sedikit diskaun daripada penjual. Minta sedikit saja, jangan lebih-lebih pula. Diorang pun tak nak kerugian.
Dengan adanya tips-tips di atas, lepas ni tak payah risau lagilah kalau terbeli lemang basi hari raya nanti. Selamat mencuba!
Sumber: MYSUMBER.TV
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment