Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam kenyataannya pada 18 April 2022 menganggarkan
lebih daripada 10,000 guru telah membuat pilihan persaraan awal pada setiap tahun sejak beberapa tahun
kebelakangan ini.
Angka ini jauh melebihi angka Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dikeluarkan pada 9 November 2021,
bahawa sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari 2021.
Jika anggaran yang dibuat oleh NUTP itu benar, maka ‘trend’ bersara awal mahupun berhenti dan meninggalkan
perkhidmatan dalam kalangan guru ini adalah sangat membimbangkan.
KPM wajar tampil menjelaskan angka sebenar dan menjelaskan dengan terperinci kegusaran NUTP itu.
Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh guru di musim pandemik adalah sangat di fahami. Ia sangat menguji
ketahanan emosi dan psikologi mereka. Apatah lagi bila dibebankan dengan kerja-kerja perkeranian yang akhirnya
menganggu tugas hakiki.
Intervensi Kerajaan dalam perkara ini adalah sangat penting. Persaraan awal guru-guru berpengalaman adalah
kerugian yang sangat besar kepada negara.
Sekiranya berlanjutan, negara bakal menghadapi krisis pendidikan yang lebih kritikal. Ia akan memberi kesan
kepada kualiti dan kebolehsaingan sistem pendidikan kita.
Aspirasi untuk menjadikan sekolah dan mutu pendidikan Malaysia setaraf dengan mutu antarabangsa akan pasti
terjejas.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pendidikan wajar memanggil wakil KPM untuk menjelaskan perkara ini
agar melalui ketelusan, suatu penyelesaian jangka waktu panjang dapat dirumuskan.
Guru adalah katalis sangat penting dalam memajukan bangsa dan negara. Mereka mempunyai pengaruh luar biasa
dalam mencorakkan keperibadian dan pemikiran generasi pelapis.
Justeru kebajikan mereka adalah keutamaan yang tiada kompromi. Dan jika begitu ramai guru-guru mengakhiri
karier mereka pada saat mereka masih produktif dan boleh menyumbang dengan berkesan, pasti ada sesuatu yang
tidak kena dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dato Seri Utama
Mohamad bin Haji Hasan
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment