NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saman SRC AS$1.18 bilion, mahkamah arah Najib fail pembelaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengarahkan Datuk Seri Najib Razak memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri itu.

Peguam Lisa Yong yang mewakili SRC ketika dihubungi media, berkata ketika pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, mahkamah mengarahkan Najib memfailkan pernyataan pembelaan dalam bahasa Inggeris hari ini, manakala bahasa Melayu pada Isnin ini."Mahkamah juga mengarahkan plaintif (SRC) memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 13 Mei," katanya dan menambah pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 18 Mei.

Pada 7 Mei tahun lalu, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas pengarah syarikat itu, Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama individu itu daripada saman berkenaan dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

SRC mendakwa Najib menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu, selain melakukan penyelewengan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

 Sumber | BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo