Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa Rafizi Ramli telah mendapatkan pekerjaan untuknya selepas tewas dalam pilihan raya umum 2013.
Sebaliknya kata Saifuddin, bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sendiri melantiknya sebagai penasihat strategik ketua menteri.
Katanya dia tidak jelas berhubung "kertas kerja" yang dimaksudkan Rafizi bagi membolehkannya mendapat kerja apatah lagi bekas naib presiden PKR itu tidak akrab dengan Lim.
"Pada tempoh sama Lim ketua menteri Pulau Pinang dan saya kerap mengadakan perbincangan menyentuh isu-isu Melayu dan Islam khususnya bagaimana membetulkan persepsi salah terhadap kerajaan negeri.
"Beliau (Lim) mempelawa saya untuk berkhidmat di sana dan dilantik sebagai penasihat strategik ketua Menteri. Saya kemudian mencadang pelantikan Ustaz Wan Ji Wan Husin sebagai pegawai khas di pejabat ketua menteri.
"Saya kurang pasti kertas kerja apa yang disebut Rafizi yang memberikan saya jawatan di Pulau Pinang? Paling saya ingat Rafizi tidak pernah mempunyai hubungan baik dengan Lim, apa lagi untuk mencadangkan perlantikan saya melalui kertas kerja kepada kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam Rafizi yang juga calon timbalan presiden PKR mendakwa dia berkorban demi membantu Saifuddin ketika “hilang kerja” selepas tewas, pada pilihan raya umum 2013.
Pada pilihan raya berkenaan, Saifuddin tewas menentang calon Umno di Kulim-Bandar Baharu.
Rafizi yang juga naib presiden PKR, berkata dia memujuk Saifuddin kembali aktif dalam politik susulan kekalahannya dalam pilihan raya 2013, selain memberi laluan kepadanya menjadi setiausaha agung parti, jawatan yang disandang Saifuddin sehingga kini.
Rafizi berkata demikian sebagai menjawab Saifuddin yang juga pencabarnya bagi jawatan timbalan presiden PKR berhubung ketiadaannya dalam arena politik selama dua tahun.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata dia dan Presiden PKR ketika itu Wan Azizah Wan Ismail telah membantu mengurangkan beban Rafizi ketika dia berdepan beberapa kes mahkamah termasuk kes NFC.
"Perbincangan kami berdua dengan presiden Wan Azizah tertumpu bagaimana mengurangkan beban Rafizi yang terpaksa turun naik mahkamah dan pada masa sama tugasan parti tidak terjejas.
"Akhirnya Wan Azizah melantik saya semula sebagai Setiausaha Agung pada 26 November 2016," katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment