NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PasLeak peluru politik pisahkan BN, PN


ARAU:
Isu PasLeak lebih dilihat sebagai satu cubaan pihak tertentu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak bekerjasama serta menyemai perasaan saling tidak percaya antara satu sama lain.

Malah penyebaran dokumen kononnya wujudkan pelan atau gerakan kerja menjatuhkan UMNO dilihat sebagai cubaan menjadikan isu tersebut sebagai peluru politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, isu PasLeak boleh jadi benar atau satu rekaan sepertimana dokumen-dokumen The Learned Protocol of the Elder of Zion yang menyemai kebencian antisemetic.

Katanya, dalam hal tersebut, bukanlah kebenaran isu PasLeak menjadi kayu pengukur sebaliknya strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan BN dalam mendepani PRU-15 sama ada boleh bersama atau sebaliknya.

“Harus diingat, Bersatu bukanlah sasaran dalam hal ini memandangkan parti tersebut tidak ada sokongan akar umbi. Saya juga yakin undi PN atau Bersatu adalah kebanyakan dari ahli dan penyokong Pas,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, tular dalam media sosial keratan minit mesyuarat serta agenda untuk menjatuhkan pemimpin UMNO termasuk mempercepat hukuman terhadap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Antara kandungan lain ialah rancangan mengenai tindakan untuk menjatuhkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan mengaitkannya dengan kluster mahkamah.

Beberapa watak utama didakwa terlibat dalam plot menjatuhkan UMNO ketika ini ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa individu lagi.

Dalam keratan itu juga, didakwa pertemuan antara Ahmad Samsuri dan Takiyuddin dibuat pada 4 April lalu bersama Hamzah di kediamannya dengan menyebut ‘maklumkan Datuk Seri Tajuddin ada jumpa dan minta Larut (Hamzah) untuk membantu buat ‘move’ politik dalam UMNO. Tajuddin mengakui nyawa politik UMNO bergantung kepada Bersatu.’

Pada 7 April pula, didakwa pertemuan dua pemimpin Pas itu juga dibuat bersama Hishammuddin di kediamannya bagi membincangkan beberapa perkara termasuk isu Perdana Menteri mesti membentuk kerjasama tiga parti untuk menghadapi PRU-15

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Ahmad Samsuri dengan menyifatkan ia sebagai ‘sampah’ sekali gus menegaskan dokumen palsu itu bertujuan memfitnah Pas serta PN.

Tambah Muhammad Izmer, dalam politik antara perkara penting adalah kekuatan kerjasama antara parti dan ia harus terbina serta dibina berasaskan beberapa faktor.

– UTUSAN







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo