NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengutip butir hikmah dalam getar suara Tok Guru


SERAK
 suaranya sama, namun getarnya berbeza. Sejak zaman remaja, lantunan vokal dan laungan hujah pidato Tok Guru Haji Hadi cukup membangkitkan semangat dan gelora juang orang muda. Cuma malam kelmarin getar suaranya tidak sama. 

Penutup ucapannya malam itu, “Pertahanlah Kelantan ni sungguh-sungguh!” cukup menusuk ke sukma semua. Getar pesan itu menggoncang jiwa. 

Mengenang peristiwa Badar dan Nuzul Quran

Kelantan setiap tahun, pada pertengahan Ramadan tidak pernah terlepas mengadakan ceramah Badar Al Kubra. Umpama lauk ifthar yang tidak boleh tidak ada dalam menu bulan puasa. Ia medan pendukung perjuangan Islam bertemu, berkumpul dan mengingati beberapa peristiwa besar umat Islam itu setiap kali tibanya bulan Ramadan. Kali ini ia dibuat di Machang. 

Nabi Muhammad S.A.W hijrah ke Madinah untuk mendirikan sebuah kerajaan, masyarakatnya majmuk, pelbagai kabilah dan agama. Ia misi besar Rasulullah S.A.W dalam menubuhkan sebuah Kerajaan Islam. Syarat untuk wujudnya negara Islam adalah kena ada rakyat, negara, pemimpin dan perlembagaan serta kedaulatan. Maka barulah wujud sebuah negara yang bebas, merdeka dan tidak diganggu.

Sepanjang era awal pemerintahan Islam di Madinah, banyak pertembungan dan integrasi yang berlaku. Apa yang baik Islam ambil tidak kira daripada bangsa mana sekalipun dan yang mana tidak baik, Islam akan tolak.

Ajaran Nabi S.A.W telah berjaya membentuk manusia. Orang Arab yang ganas, bengis, zalim, tidak berakhlak dan bermacam-macam lagi perangai, apabila menerima Islam menjadi orang yang baik, penuh santun, tinggi budi pekerti dan kaya akhlaknya.

Perkembangan Tamadun Islam

Ramai yang tidak tahu bahawa Islam dahulu yang memulakan sistem bank, bayaran secara cek dan sistem muamalah moden. 

Rumah Siti Khadijah R.A contohnya pernah menjadi tempat orang Makkah menyimpan barang-barang mereka. Sudah tentu yang disimpan itu adalah barang yang berharga dan memiliki nilai. Ia disimpan sama ada sebagai amanah atau dibuat barang dagangan oleh Khadijah sebagai pelaburan perniagaan bersifat mudharabah.

Nabi S.A.W sangat amanah sehingga orang Makkah percaya untuk menyimpan dengan Baginda dan isterinya. Namun, sebelum berhijrah, Nabi telah arahkan Saidina Ali R.A untuk memulangkan semula semua barang-barang tersebut.

Inilah dia sistem bank pertama dalam sejarah tamadun manusia. Islam yang mulakan. 

Kemudiannya, kisah seorang Gabenor Kerajaan Abbasiyah yang pergi ke Baghdad dengan membawa askar dan bala tentera, lalu singgah makan di sebuah kedai. Apabila mahu membayar, beliau menulis di atas sekeping kertas nilai bayaran kepada tuan kedai dan memintanya pergi ke baitulmal untuk menukarkannya kepada emas dan dirham. Ini antara bayaran cek pertama di atas muka bumi dan dalam peradaban manusia.

Hospital paling awal, juga wujud pada zaman Nabi S.A.W sewaktu Perang Ahzab. Ketika merawat Saad bin Muaz R.A, Nabi mengarahkan supaya dibina khemah berhampiran Masjid Nabawi untuk mudah merawat dan Sahabat lain mengunjunginya. Ini wad hospital pertama yang Islam terokai dan wujudkan. 

Bahkan hotel pertama, musafir khana iaitu penginapan percuma bagi pengembara yang berhajat untuk berehat dan bermalam telah diwujudkan melalui sistem wakaf. Apabila para musafir, serta pedagang ini singgah, berehat maka timbul pula orang berniaga, penjual, penjaja, tukang masak kedai makan, orang menanam sayur, membela binatang dan sebagainya. Maka naiklah bandar-bandar Islam baharu yang seterusnya berkembang maju menjadi tamadun moden.

Dengan naiknya bandar baharu ini maka sistem perbandaran semakin kompleks dan maju. Orang Islam yang berjaya berniaga dan macam-macam lagi, mengeluarkan zakat, manakala orang bukan-Islam pula membayar cukai serta jizyah. 

Kemakmuran dan kesejahteraan negara Islam ini menarik minat manusia seluruh dunia, mereka mulai menerima Islam sama ada di bumi Arab, rantau Asia dan Kepulauan Melayu-Nusantara, Afrika Utara dan Tengah, Selatan Eropah bahkan hingga ke Negara China. 

Tok Guru Presiden menyebut bahawa beliau pernah membaca tulisan kajian berkait pada zaman Nabi S.A.W, telah pun ada masjid di negara China setelah Maharaja pada waktu itu terkejut ketika peristiwa bulan terbelah dua. Maka baginda maharaja memanggil ahli-ahli falak negara yang kemudiannya memanggil pedagang-pedagang Arab. Mereka mengatakan ia berlaku disebabkan telah zahir Rasul akhir zaman di Tanah Arab.

Islam setelah itu menguasai dunia dengan manusia beramai-ramai memeluk Islam tanpa sebarang paksaan. Itu semua catatan sejarah.

Umat Islam lemah dan merosotnya kuasa

Kini umat Islam lemah dan jatuh kerana tinggalkan politik Islam. Ia seiring pesanan Nabi S.A.W yang pernah menyebut;

“Daripada Abi Umamah al-Bahili R.A, daripada Rasulullah S.A.W yang bersabda: “Demi sesungguhnya akan berlaku, dirungkai (dirombak) ikatan ajaran Islam (yang teguh) satu demi satu. Maka, apabila setiap satunya dirombak menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya (yang masih ada). Simpulan pertama yang dirombak ialah (pelaksanaan) hukum Islam dan simpulan terakhir yang dirombak ialah (pelaksanaan) solat.””

 (Riwayat Ahmad 22160, Ibn Hibban 6715 dan lain-lain dengan sanad yang baik)

Maka hari ini ramai orang Islam yang telah mengabaikan politik Islam. Mereka berfikir bahawa sama sahaja siapa pun yang memerintah serta telah bosan dan muak dengan sikap ahli politik.

Mereka hanya jaga solat sahaja. Apa jua berlaku dalam negara mereka abaikan dan semata-mata hidup dengan keluarga masing-masing. Maka kebenaran Hadis Nabi S.A.W itu semakin menjadi kenyataan dalam masyarakat kita hari ini. 

Mereka lupa, kita mahu melakukan apa pun, perlu ada penyebab untuk ia dijayakan. Kata Tok Guru, “Nak gi Makkah kena naik kenderaan yang sesuai pada zaman itu, nak poso kena ada makanan sahur dan berbuko, nak sembahyang kena ada wuduk, maka nak melaksanakan hukum hakam dan syariat dalam Al-Quran, kena ada kuasa politik!”

Sebenarnya bilakah bermulanya hal ini? Bermulanya orang Islam tinggalkan politik agama adalah dengan kemasukan penjajah yang memulakan serangan pemikiran dan penjajahan minda.

Mereka menerima tentangan hebat orang Islam yang bermati-matian mempertahankan watan biarpun akhirnya bersenjatakan ‘keris sehasta dan badik sejengkal’ sahaja, tetapi lawan terus tanpa menyerah kalah. 

Maka Barat menukar cara mereka dan mahu tahu apakah kekuatan sebenar umat Islam. Strategi pertama adalah menghantar ramai orientalis antaranya Snouk Hurgronje atau Christiaan Snouck Hurgronje. Dia ditugaskan mengaji pondok di Acheh, pura-pura masuk Islam atas nama Abdul Ghaffar semata-mata mahu tahu kekuatan sebenar Islam serta menyesatkan masyarakat. Snouk berkahwin dengan anak imam tempatan dan berjaya diangkat menjadi imam.

Secara ringkas Snouk melaporkan kepada Barat bahawa kekuatan sebenar umat ini adalah kitab Al-Quran.

Orientalis lain juga pernah menyebut adanya ‘3 batu besar’ yang Barat tidak mampu pecahkan dalam kekuatan umat Islam serantau iaitu Al-Quran, solat Jumaat dan haji di Makkah. Selagi wujud 3 perkara ini, umat Islam akan terus teguh. 

Kelantan sebagai model contoh

Tok Guru Haji Hadi berkongsi kebimbangannya apabila dibentangkan kajian oleh para penyelidik bahawa golongan muda negara ini sudah tidak mahu berbicara hal politik. Mereka hanya mahu kerja dan cari makan sahaja.

Ini satu bahana besar buat umat. Jika generasi baharu ini tidak mahu ambil ‘port’ hal politik dan pentadbiran negara, maka akhirnya orang lain yang akan ambil peluang dan menguasai negara kita dan umat Islam akan kerugian besar.

Namun, sinar masih ada. Alhamdulillah rakyat Kelantan tunjukkan contoh yang baik dengan menegakkan Kerajaan Islam sudah lebih 32 tahun. 

Walaupun berdepan pelbagai kesusahan dan kesukaran namun rakyat terus memilih PAS di Kelantan kerana Islam. 

Kita dizalimi dengan penafian hak royalti minyak, tidak diberi hak-hak pembangunan, peruntukan disekat dan dilambatkan. 

Kata Tok Guru, “Singapura keluar Malaysia dulu tak dibuat aniaya begini, Sabah diperintah PBS tak kena laguni, tapi kenapa Kelantan kena? Tidak lain hanyalah kerana kita perjuangkan Islam!”

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 21/4/2022


............oo000oo...........
PENAFIAN 1
  Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                            ...............


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo