NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengapa SPRM siasat Nazlan, tidak Azam Baki? Tegur LGE


Pengerusi DAP Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membuka kertas siasatan terhadap ketua pesuruhjayanya, Azam Baki kerana didakwa melanggar undang-undang dalam pembelian saham.

Sebaliknya katanya, Azam mengesahkan SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

"Mengapa SPRM gagal membuka serta-merta kertas siasatan ke atas Azam Baki kerana melanggar undang-undang dalam pembelian berjuta-juta saham bernilai jutaan ringgit?" katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu SPRM dilaporkan mengesahkan kertas siasatan terhadap Nazlan dibuka susulan menerima laporan mengenai artikel yang disiarkan di blog Malaysia Today milik Raja Petra Kamaruddin.

Artikel itu mendakwa hakim berkenaan mempunyai “kekayaan yang tidak dapat dijelaskan”.

Nazlan membuat laporan polis berhubung artikel berkenaan pada 21 April lalu.

Siasat Raja Petra

Mengulas lanjut Lim mempersoalkan mengapa tiada siasatan dilakukan terhadap dakwaan Raja Petra yang dididakwanya “secara konsisten terbukti palsu dan tidak berasas”.

"Walaupun Raja Petra "bersembunyi" di London, dia harus diminta kembali untuk membolehkan dirinya disiasat secara menyeluruh.

“Jika dia enggan kembali dan jika terdapat alasan yang mencukupi untuk pertuduhan jenayah difailkan maka dia perlu diekstradisi," kata Lim yang juga anggota Parlimen Bagan.

Sebagai rekod sebelum ini, tersebar dakwaan bahawa Nazlan adalah saudara kepada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Anak perempuan Mahathir, Marina bagaimanapun menafikan perkara itu.

Pasukan peguam bekas perdana menteri, Najib Razak juga mendakwa Nazlan mempunyai konflik kepentingan dalam kes 1MDB.

Nazlan merupakan hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta terhadap Najib kerana rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu tahun lepas manakala Najib sedang merayu kes itu di Mahkamah Persekutuan.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo