Asas hujah mereka ialah pertembungan untuk kerusi timbalan presiden akan menjadi pencetus zaman gelap PKR. Dua nama besar PKR – Saifuddin Nasution Ismail akan berentap dengan “budak bijak” Rafizi Ramli untuk jawatan berkenaan.
Saifuddin terkenal sebagai pemidato yang baik. Hujahnya bernas dan kepemimpinannya dalam pengurusan parti adalah kemas.
Sementara Rafizi juga tidak kurang petahnya dan seorang akauntan forensik yang cekap serta mampu mengesan keherotan perangkaan kewangan dengan tuntas.
Persamaan mereka ialah masing-masing dianggap pakar strategi politik dan sosioekonomi yang matang. Lantas apabila kedua-duanya bersaing untuk jawatan nombor dua PKR, maka debu gelanggang akan lambat susut.
Sebagai pakar strategi, masing-masing ada cara tersendiri merapati pemilih dalam PKR. Saifuddin memiliki naratif kerjaya politik yang agak panjang – daripada pengatur agenda dan strategi Pemuda Umno hingga diiktiraf Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat menjadi Pengurus Besar Yayasan Tok Kenali Kelantan.
Sesungguhnya penerimaan Nik Aziz ini dengan sendirinya mewarnakan perwatakannya sebagai kadre perjuangan Islam yang berwibawa.
Rafizi lebih terlihat sebagai orang korporat. Prestasi cemerlang di Petronas segera menjanjikan potensi pengurusan yang meriah dan teliti.
Yang jelas juga kedua-duanya cekap berhujah dan mempunyai penguasaan bahasa yang baik. Yang sedihnya, dalam persaingan satu lawan satu sebegini, pasti ada yang kalah. PKR perlukan kedua-dua calon ini. Kombinasi mereka boleh menggerunkan parti saingan.
Alangkah eloknya jika kedua-duanya diisytiharkan menang. Dua-dua jadi timbalan presiden – satu dan dua. Ini tentu menyelamatkan penyokong masing-masing daripada “berperang habis-habisan” dan melemahkan parti.
Yang menjadi paksi penentu persaingan ini ialah presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang sudah mengekalkan jawatannya tanpa bertanding.
Anwar menjadi magnet atau “besi berani” bagi kedua-dua ahli politik ini. Saifuddin memang penyokong tegar Anwar sejak mula melangkah ke alam politik sementara Rafizi pula ialah pengurus besar di pejabat Anwar ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor apabila PKR menawan negeri itu pada 2008.
Akhir-akhir ini ada penganalisis politik yang cuba menggambarkan Anwar sudah menjadi politikus yang la’eh. Bintang politiknya tidak secemerlang dan sesegar ketika menjadi timbalan perdana menteri. Lantas ada yang mencadangkan beliau undur dari politik.
Jika telahan itu benar, siapakah yang wajar mengambil alih? Sudah tentu dua jaguh yang menawarkan diri menjadi orang nombor dua Anwar dalam pemilihan kali ini. Soalnya, apa Anwar boleh buat bagi mengelakkan keciciran salah seorang permata masa depan PKR ini?
Jawapannya ialah, Anwar tidak perlu buat apa-apa. Cuma apa yang beliau perlu pastikan ialah yang menang tidak mengaut semua punca kuasa sebagai timbalan presiden PKR dan yang kalah tidak kehilangan semua peranan parti.
Maksudnya, Anwar perlu berusaha mengobarkan semangat keadilan dan demokrasi yang diidamkan oleh PKR selama ini. Anwar perlu mengizin dan merestui persaingan ini. Namun pada masa yang sama beliau perlu memikirkan bagaimana tidak ada yang merajuk jika tewas.
Ini bermakna semangat reformasi perlu dikobarkan baik dalam sanubari kedua-dua panglima ini tetapi meresap dalam jiwa perjuangan soldadu parti. Malah sejarah perjuangan PKR mesti digilap dan kesedaran perlu dicambahkan betapa ruginya PKR bila bersarang rasa cemburu di kalangan pemimpin pelapisnya.
Pengalaman bersama Yayasan Anda dan Angkatan Belia Islam mesti diaplikasikan sepenuhnya. Bahawasanya setiap warga PKR ada peranan memperkasa parti dan menjadikan agenda reformasi satu realiti.
Apabila PKR meningkat dewasa memang banyak unsur politik cuba meresapinya. Ada yang melihat PKR adalah wadah untuk popular, berkuasa, dan berharta. Anwar harus bijak menguruskan hawa nafsu ahli-ahli PKR supaya tidak tersasar daripada matlamat reformasi.
Saifuddin dan Rafizi adalah tokoh yang matang. Sepanjang kempen hingga berlakunya pemilihan mereka seharusnya mengelak menjadi batu api memburukkan saingan. Panel disiplin parti harus bersiaga untuk menegur.
Anwar mesti berusaha menjadikan pemilihan parti 2022 sebagai satu karnival politik demi merealisasikan impian reformasi. Sayugia diingat parti saingan sentiasa mengikuti persaingan ini penuh minat. Tidak mustahil ada yang tergerak untuk campurtangan.
Selepas merasai keperitan penangan Langkah Sheraton seluruh warga PKR harus buka mata tidak terjebak dengan “sihir politik” kleptokrasi, dan jerangkap tiga “ta” – Harta. Wanita dan Takhta.
PKR parti reformasi. Yang seharus didaulatkan ialah rakyat. Jadilah parti politik yang matang, adil dan siuman serta tidak bersikap perkauman. Pastikan karnival politik bulan depan meriah dan pembakar semangat untuk bersaing memperbaiki diri dari segala segi – kesetiakawanan, kepercayaan dan kepatuhan.
Anwar perlu menyulam konsep “wahdatul fikr” (keserasian pemikiran) dan jangan membiarkan konsep itu berlumut dalam almari buku semata-mata.
Pemilihan 2022 ialah titik tolak PKR yang baik. Hakikat 17 ahli menawarkan diri untuk jawatan naib presiden dan berpuluh lagi untuk kerusi badan kepimpinan pusat menyerlahkan betapa wujud kebebasan untuk mengemukakan idea masing-masing dalam impian reformasi yang sebelum ini hampir jadi hanya satu slogan.
Politik memang banyak percaturannya. Mutakhir ini ada yang menyarankan PKR melebarkan tapak kerjasama dengan parti politik lain. Berhati-hatilah. Ini mungkin jerangkap. Sudah pasti Umno bukan landasan untuk melaksanakan reformasi. Begitu juga dengan serpihannya, Bersatu.
Amat sukar untuk kedua-duanya untuk serasi dengan ideologi politik PKR. Agak mustahil untuk mereka berubah sebab mereka adalah produk dari acuan yang sama.
Begitu juga PAS. Ia juga bukan pilihan kerana ia tidak pernah berubah. Ideologi politiknya statik. Santuni parti yang mempunyai idealisme dan yang mahu keluar dari kepompong politik pasca kolonialisme dan gerak siasah agama yang sempit.
PKR tidak harus lupa diri. Ia berhasil menumbangkan pemikiran lama dan membentuk kerajaan kerana setiakawan dengan Amanah dan DAP yang mahu membebaskan diri dari politik taksub keagamaan dan ketuanan Umno yang tidak bersempadan. Pelihara dan tegakkan nilai keadilan!
Ketiga-tiga parti pernah mencipta sejarah kemenangan bersama. Usah melirik pada parti yang terus berpegang pada modal perkauman dan ketaksuban.
Masih laratkah lagi Anwar memikul harapan besar ini?
BAKAR SAUR
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment