Jurugambar dan juruvideo untuk laman web berita Ukraine dan juga penyumbang berita kepada Reuters, Maksim Levin terbunuh ketika membuat liputan mengenai pencerobohan Russia ke atas Ukraine. - REUTERS |
LVIV: Maksim Levin, seorang jurugambar dan juruvideo untuk laman web berita Ukraine dan juga penyumbang berita kepada Reuters, terbunuh ketika membuat liputan mengenai pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Levin meninggalkan isteri dan empat anaknya.
Mayatnya ditemui di sebuah kampung di utara ibu kota Ukraine Kyiv pada kelmarin (1 April), kata laman web berita LB.ua yang juga media Levin berkhidmat.
Beliau yang dilahirkan pada tahun 1981, adalah pembuat filem dokumentari yang banyak menyumbang kepada liputan berita Reuters di negara itu sejak 2013.
Ketika kejadian dia sedang membuat liputan di kampung Huta Mezhyhirska dan difahamkan terdapat tembakan hebat di kawasan itu.
Pejabat pendakwa raya di Ukraine berkata Levin 'dibunuh oleh anggota tentera Russia dengan dua das tembakan dari senjata kecil'. Bagaimanapun ia tidak dapat disahkan secara bebas.
Editor pengurusan global Reuters untuk visual, John Pullman berkata, mereka sedih mendengar kematian Maksim Levin, penyumbang lama kepada Reuters, di Ukraine.
"Levin memberikan gambar dan video menarik dari Ukraine kepada Reuters sejak 2013.
"Kematiannya adalah satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan. Fikiran kami bersama keluarganya pada masa yang sukar ini," katanya. - REUTERS
No comments
Post a Comment