Seramai 98,421 warga Indonesia bekerja di sektor perladangan ketika ini. - Foto hiasan |
KUALA LUMPUR: Sehingga bulan lalu, seramai 352,469 pekerja warga Indonesia bekerja di Malaysia dengan majoritinya di sektor perladangan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata daripada jumlah itu, 98,421 bekerja di sektor perladangan, manakala pembinaan (65,660), perkilangan (67,217), pekhidmat domestik (58,438), pertanian (43,953) dan perkhidmatan (18,779).
"Memorandum Persefahaman berhubung Penggajian dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia di Malaysia (MoU PDI) ditandatangani untuk kali pertama pada 2006 dan tamat tempoh pada 2011 dan kemudiannya diperbaharui sehingga 2016.
"Namun selepas tempoh itu, MoU PDI itu tidak dapat diperbaharui berikutan ketiadaan kata sepakat antara kedua-dua negara.
"Bagaimanapun, saya akan menandatangani MoU PDI dengan rakan sejawat, Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah di Jakarta pada Jumaat ini (1 April)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, majlis menandatangani MoU PDI itu adalah satu detik bersejarah yang akan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo.
"Ia bakal mencerminkan komitmen dan kesepakatan kedua-dua negara dalam melaksanakan MoU ini kelak.
"MoU PDI ini akan merintis kepada kemasukan pekerja dari Indonesia ke dalam sektor yang dibenar penggajian Tenaga Kerja Indonesia," katanya.
Untuk rekod, MoU berkenaan sepatutnya ditandatangani pada 7 dan 8 Februari lalu di Bali, Indonesia namun ia ditangguhkan.
Sumber | BH Online
No comments
Post a Comment