KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengambil pendirian jelas untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dalam tahun ini juga, bukannya tahun depan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menggariskan lima keperluan PRU segera itu berkata, ia perlu diadakan memandangkan pihak lawan ternyata sangat lemah ketika ini.
"PKR kalah semua kerusi yang mereka tandingi di (Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi di (PRN) Johor. DAP kehilangan banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak. Di Johor pula, mereka hanya memenangi 10 daripada 14 kerusi.
"Perikatan Nasional (PN) pula dalam semua PRN, hanya bergantung kepada jentera PAS dan tidak menjadi pesaing handal lagi digeruni. Di Johor, PN sudah kita jinakkan dengan hanya menang tiga kerusi," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2021 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Turut sama hadir, barisan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri; Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta ketua-ketua sayap UMNO.
Beliau berkata, sebab kedua, persefahaman politik dalam kalangan pembangkang ketika ini sangat bercelaru.
"Semua berlumba dengan cita-cita sendiri. Semua ghairah bertanding tanpa mengukur keupayaan sebenar. Ada yang tidak punya 'struktur'.
"Hanya berpaut pada seorang dua personaliti, itu pun tanpa pengalaman. Tanpa kesatuan, mereka tidak boleh mengalahkan kita. Ketidaksepaduan pembangkang adalah strategik kepada UMNO," katanya.
Ketiga, katanya, pelbagai pilihan raya semasa pandemik COVID-19 sudah berlangsung dengan berjaya dan teratur, malah menganjurkan PRU sewaktu pandemik juga dilihat sebagai pilihan terbaik.
"Keempat, prestasi sebagai kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran. Dengan memuncaknya krisis Ukraine dan Russia, tergugatnya 'Europe security order', ketidakpastian mengenai kemungkinan adanya ancaman pandemik baru, ketegangan hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan 'global supply chain', prestasi ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada semua kegawatan ini.
"Harga barang juga semakin naik mendadak, tidak terkawal dan tidak masuk akal. Kemarahan rakyat membuak-buak. Semakin lama dibiarkan, semakin ramai yang akan mengkambinghitamkan UMNO dan BN," katanya.
Terakhir, Mohamad berkata, BN mesti mengembalikan mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang sah kerana Malaysia tidak pernah ditadbir oleh kerajaan yang tidak terbentuk melalui pilihan raya yang demokratik.
"Keabsahan kerajaan sekarang terus dipersoal. Kita tidak menang dalam PRU lalu. Kita hanya menguasai kerajaan melalui percaturan politik," katanya.
Mengakhiri ucapannya, beliau turut mempersoalkan, sama ada alasan menolak PRU pada masa ini, berdasarkan satu penilaian risiko yang teliti dan mendalam atau sekadar mengikut kata hati dan bisikan emosi.
"Apakah dengan menangguhkan PRU, BN akan berada dalam keadaan yang lebih selesa untuk menang? Jika demikian, apakah rumus untuk perkara sedemikian berlaku?.
"Momentum apa lagi BN perlu tunggu untuk menghadapi pilihan raya apabila 'the feel-good feeling' terhadap kerajaan waktu ini sudah mula beransur pudar? Apakah jaminan CSA dan MOU yang kita meterai sekarang ini akan terus bertahan dalam keadaan politik yang sangat dinamik ini?" katanya.
Sumber | BH Online
No comments
Post a Comment