NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Post mortem’ kemenangan BN perlu dibentang di PAU

Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Mohd Zain Yasim

BACHOK - ‘Post mortem’ kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka perlu dilakukan dan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebagai rujukan dalam mengukuhkan jentera parti bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)


Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Mohd Zain Yasim berkata, kajian atau semakan bukan sahaja perlu dilakukan terhadap kekalahan malah kemenangan juga wajar sebagai penanda aras dalam memantapkan gerak kerja seterusnya.

Menurutnya, Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada Rabu hingga Sabtu ini dijangka akan menjadi medan sebahagian besar perwakilan bagi mendesak mempercepatkan PRU15, bagaimanapun perkara paling utama adalah memastikan kedudukan BN benar-benar kukuh untuk kembali memimpin kerajaan.

“Nak desak boleh, tapi biar berasas. Tidak boleh hanya dengan ‘keterujaan’ menang pada PRN Melaka dan Johor, kita rasa makin kuat dan desak percepat PRU15. Tak cukup dengan semangat sahaja sebaliknya gerak kerja dan jentera juga perlu lebih mantap.

“Buat ‘post mortem’ kejayaan di Melaka dan Johor supaya kaedah kemenangan itu boleh diguna pakai serta dijadikan panduan dalam membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Zain turut berpendapat BN belum cukup bersedia untuk berdepan PRU15, namun tetap menyokong sekiranya majoriti mahu pilihan raya itu disegerakan.

“Kalau desakan dibuat, kita turut serta sebab perlu ikut majoriti tetapi jangan berkecil hati jika laungan itu tidak disahut oleh pihak yang berkuasa untuk menentukan bila PRU15.

“Situasi sekarang berbeza dengan dahulu kerana Perdana Menteri bukan lagi presiden parti ini dan ditambah dengan suasana politik yang menginginkan lebih ramai tokoh muda, nak tangkap muat boleh tetapi tak menjamin kejayaan,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO dan BN perlukan lebih masa sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini untuk benar-benar bersedia berdepan PRU15 dan bukan dalam tempoh sebulan dua akan datang.

“Perlu lihat hakikat sebenar di negeri yang tak pernah kalah sekali pun masih ada banyak kepincangan apatah negeri lain yang sentiasa kalah.

“Jika berlaku ‘kelahiran kedua’, UMNO dan BN memastikan parti ini lebih perkasa, bergaya dan berkuasa sampai bila-bila,” katanya.

Sumber | Sinar Harian


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo