Malaysia mengalami fasa peralihan monsun bermula Isnin lalu hingga pertengahan Mei depan |
JOHOR BAHRU: Banjir kilat berpotensi berlaku di seluruh negeri Johor berikutan peralihan monsun yang dijangka berterusan hingga Mei depan, menurut Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Bagaimanapun, situasi itu tidak kritikal seperti ketika Monsun Timur Laut.
"APM Johor telah bersiap siaga dengan keanggotaan lebih 700 orang serta logistik termasuk pacuan empat roda, bot penyelamat, ambulans sejak dari permulaan Monsun Timur Laut yang berlaku semasa awal Januari lepas untuk menghadapi sebarang kemungkinan," menurut APM dalam kenyataan hari ini.
APM menasihatkan penduduk yang berisiko terjejas banjir supaya patuh dengan arahan pihak berkuasa dan berpindah keluar sekiranya keadaan banjir di tempat masing-masing menjadi semakin buruk.
"Jangan sesekali cuba meredah jalan raya yang dinaiki air kerana risiko kenderaan hanyut oleh arus dan terperangkap adalah tinggi.
"Sebagai persediaan awal, juga dinasihatkan agar sentiasa mengambil maklum ramalan cuaca harian supaya persediaan selanjutnya dapat dilakukan," menurut APM.
APM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak lupa membawa dokumen penting termasuk kad pengenalan dan sijil kelahiran.
Pada Jumaat lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata Malaysia dijangka mengalami fasa peralihan monsun bermula Isnin hingga pertengahan Mei depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 3 November lalu. – BERNAMA
No comments
Post a Comment