Kerja pembersihan cerun dilakukan di Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya, hari ini. NSTP/Nor Azizah Mokhtar |
AMPANG JAYA: Walaupun dibenarkan pulang dan mendiami semula kediaman mereka, ada penduduk Taman Bukit Permai 2 di sini, yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh, Khamis lalu, enggan mengambil risiko.
Penduduk terbabit ialah mereka yang tinggal di sederet rumah di Jalan Teratai 1/2J, yang mana sebahagian kediaman terjejas teruk akibat kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu.
Penduduk, Hui Yee, 30, yang ditemui BH, hari ini, berkata beliau bersama lima ahli keluarga yang lain termasuk ibu bapa dan seorang ibu saudara berasa lebih selamat menumpang sementara di rumah seorang saudara mereka di Taman Bukit Teratai yang terletak berhampiran, sejak hampir seminggu lalu.
Ini kerana, katanya, mereka masih bimbang sekiranya berlaku lagi runtuhan susulan kerana cuaca ketika ini tidak menentu dan kerap hujan.
"Kami cuma akan pulang sekejap antara tiga hingga empat jam sehari untuk melihat keadaan terkini dan membersihkan rumah.
"Lagipun, bekalan air terputus sejak hari kejadian di deret rumah kami, cuma ada bekalan elektrik setakat ini. Mungkin dua minggu lagi kami akan berpindah balik ke rumah, namun tertakluk kepada keadaan," katanya.
Hui Yee berkata, walaupun berasa agak susah kerana terpaksa menumpang di rumah saudara, ia lebih selamat kerana tidak mahu mengambil risiko selain menunggu kerja pembersihan diselesaikan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang dimulakan hari ini.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Chia, 52, turut menyatakan hal sama dan tidak mahu mengambil risiko buat masa ini untuk beliau dan keluarganya mendiami semula rumah seperti sedia kala.
"Kami cuma pulang untuk ambil barang keperluan dan lihat perkembangan semasa di lokasi. Kita lihat kerja pembersihan sudah dimulakan MPAJ hari ini, perkara ini sangat baik.
"Tetapi untuk tinggal dan bermalam di sini, kami tak berani lagi walaupun sudah dibenarkan berbuat demikian. Masih rasa tidak selamat kerana cuaca sekarang pun kerap hujan terutama pada sebelah petang," katanya yang kini menumpang sementara di rumah seorang adik.
Sementara itu, Ahli Majlis MPAJ Zon 23, Mohamad Samat yang ditemui di lokasi berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, semalam memaklumkan sebahagian penduduk yang sebelum ini diarah berpindah sudah pun dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Keputusan itu selepas kajian agensi teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Galian (JMG) serta Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) sejak Jumaat lalu, merumuskan keselamatan cerun terjamin.
Namun, katanya ia terpulang kepada penduduk berkenaan untuk pulang dan mendiami semula rumah masing-masing atau sebaliknya.
"Pada masa sama, kita difahamkan pasukan teknikal Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan membuat semakan dan pemeriksaan tahap keselamatan rumah penduduk yang terjejas dan sudah dibenarkan pulang itu.
"Mungkin akan ada kemungkinan rumah berkenaan diarahkan untuk dikosongkan jika pemeriksaan mendapati kediaman itu belum selamat untuk diduduki," katanya.
Pada masa ini, katanya, masih terdapat 22 rumah diisytiharkan terjejas, masing-masing 15 rumah di Jalan Permai 1, Taman Bukit Permai, serta tujuh rumah, masing-masing lima di Taman Bukit Permai 2 dan dua di Taman Mega Jaya dan penduduk diarah berpindah.
Dua daripadanya adalah kediaman penduduk yang musnah sama sekali dalam kejadian yang mengorbankan empat nyawa manakala seorang lagi cedera.
Sumber | BH Online
No comments
Post a Comment