LONDON: Pengguna berisiko kehilangan semua wang dilaburkan dalam aset kripto dan boleh menjadi mangsa penipuan, kata badan pemerhati sekuriti, perbankan dan insurans Kesatuan Eropah (EU) dalam satu kenyataan bersama hari ini.
"Pengguna berdepan kemungkinan sangat nyata untuk kehilangan semua wang dilaburkan jika mereka membeli aset ini," kata tiga pihak berkuasa EU dalam kenyataan berkenaan.
Ia menandakan peningkatan amaran langsung kepada pengguna mengenai aset kripto oleh pihak berkuasa EU, menyatakan pengguna tiada perlindungan atau bantuan untuk pampasan di bawah undang-undang perkhidmatan kewangan EU sedia ada.
Pengawal selia berkata, pihaknya semakin bimbang susulan lebih ramai pengguna membeli 17,000 aset kripto berbeza, termasuk bitcoin dan ether, menyumbang 60 peratus daripada pasaran, tanpa menyedari risiko sepenuhnya.
"Pengguna perlu waspada risiko iklan mengelirukan, termasuk melalui media sosial dan pengaruh selebriti media sosial.
"Pengguna perlu berhati-hati dengan pulangan terlalu cepat atau amat tinggi dijanjikan, terutama dilihat terlalu bagus sehingga tidak masuk akal," katanya.
Menurut kenyataan sama, pelabur harus sedar penggunaan tenaga bagi menghasilkan beberapa aset kripto adalah tinggi dan kesannya terhadap alam sekitar. - REUTERS
No comments
Post a Comment