KUALA LUMPUR: Skim pengeluaran khas terbaharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka lebih rendah berbanding program terdahulu memandangkan ramai ahli berkemungkinan tidak mempunyai jumlah mencukupi untuk membuat pengeluaran penuh yang dibenarkan.
Ahli Ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus, berkata orang ramai juga dilihat semakin kurang memerlukan sokongan kewangan, ditambah pula dengan jangkaan pulangan pelaburan yang baik pada masa hadapan berikutan prestasi mantap KWSP tahun lalu.
Beliau berkata, pengeluaran khas KWSP yang diumumkan baru-baru ini adalah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan langkah yang diambil sebelum ini adalah ketika sekatan pergerakan dilaksanakan, manakala pengeluaran terbaharu dibuat di tengah-tengah pemulihan ekonomi.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan jumlah pengeluaran lebih rendah antara RM15 bilion hingga RM20 bilion disebabkan jumlah dana ahli yang terhad.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu boleh menambah sehingga 45 mata asas (bps) kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
"Dari segi jangka panjang, jumlah simpanan lebih tinggi yang diperlulan untuk membina penampan boleh memberi kesan kepada perbelanjaan masa depan.
"Krisis persaraan yang lebih buruk boleh menyebabkan peningkatan usia persaraan," katanya.
Nazmi berkata, bagi membina semua simpanan, semua caruman KWSP akan pergi kepada Akaun 1 sehingga semua jumlah yang dikeluarkan dapat digantikan.
Katanya, ini menyebabkan kekurangan dana dalam Akaun 2, yang dibina untuk tujuan lain seperti pendidikan atau pembelian hartanah, sehingga boleh menjejaskan perbelanjaan dan pelaburan masa hadapan.
Selain itu, katanya, kegagalan mencapai simpanan asas penuh bermakna negara mungkin tidak dapat mempersiapkan secukupnya krisis persaraan yang dipanggil 'silver tsunami'.
"Akibatnya, kerajaan mungkin terpaksa menaikkan usia persaraan untuk terus membina semula simpanan simpanan ahli dan mengurangkan kos untuk menyokong golongan warga emas. Kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan kerajaan berdepan nisbah hutang berbanding KDNK lebih tinggi.
"Di samping itu, terdapat juga risiko kepercayaan terhadap KWSP terhakis kerana kurangnya perlindungan dana daripada pengaruh politik, yang dilihat sebagai satu kelemahan dalam organisasi, sekali gus memberikan implikasi lebih besar dalam pasaran kewangan," katanya.
Sumber | BH
No comments
Post a Comment