KLUANG: Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan bekerjasama serta meneruskan misi, visi dan manifesto bekas Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.
Berkongsi perbualannya bersama Hasni sebelum mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Bukit Serene semalam, Onn Hafiz berkata, Hasni juga akan memberikan bantuan dan sokongan kepadanya dalam memimpin negeri itu.
Dalam ucapan sulung di hadapan kira-kira 300 penyokongnya semasa majlis santai di Laman Simpang Renggam, dekat sini, Onn Hafiz menyifatkan beliau tidak pernah menemui sosok pemimpin yang berjiwa besar seperti Hasni.
"Pada Majlis Angkat Sumpah di depan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sebelum itu saya dapat berbincang dengan dia (Hasni), saya tak pernah lihat seorang seorang pemimpin yang sangat berjiwa besar.
"Dia (Hasni) cakap dengan saya supaya jangan risau, pimpin (Johor)) baik baik dan dia akan bantu dan sokong bina negeri Johor yang kita sayangi ini.
"Saya sangat menghargai dan saya akan berjumpa dan sentiasa berjumpa denganya (Hasni) untuk mendapatkan nasihat dan pandangan supaya yang berpengalaman dapat bergabung dengan yang muda.
"Saya mungkin ada tenaga dan daya tetapi pengalamannya jauh lebih banyak dari saya , inshaAllah visinya, manifestonya tetap saya akan tunaikan untuk rakyat Johor," katanya.
Onn Hafiz memulakan tugasnya secara rasmi di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di Johor Bahru hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru, semalam.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lepas, Onn Hafiz, 43, memenangi pertandingan empat penjuru menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional, R Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543.
Onn Hafiz berkata, merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada Hasni yang juga memenangi kerusi DUN Benut , yang sudah berjuang habis habisan untuk memastikan kemenangan yang cukup besar BN di Johor.
"Saya ini macam tak percaya je ni, betul , sebab tak terlintas di pemikiran saya, kerana di atas saya di peringkat kepimpinan ada seorang pemimpin yang jauh lebih hebat daripada saya.
"Jauh lagi banyak pengalaman dari saya, lagi banyak visi dan misinya yang belum dicapai, tidak lain tidak mantan.
"Beliau memimpin di Johor, kita BN bersyukur Alhamdulillah mendapat 40 daripada 56 kerusi di Johor suatu pencapaian yang lama kita tak dapat," katanya.
Beliau berkata, menjunjung kasih di atas kebijaksanaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang berjaya mengemudi majlis angkat sumpah itu hingga berjalan dengan lancar, tertib dan sempurna.
Sumber | BH Online
No comments
Post a Comment