JOHOR BAHRU: Bekas EXCO Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin, dipercayai bakal dilantik menjadi Menteri Besar ke-19, menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad.
Desas-desus mengenai pelantikan Onn Hafiz yang kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di kerusi DUN Layang-Layang, semakin kuat apabila Barisan Nasional (BN) berjaya meraih kemenangan lebih dua pertiga pada PRN Johor.
Menurut sumber BN, ura-ura Onn Hafiz mahu diangkat menjadi Menteri Besar Johor sudah mula kedengaran sejak menjelang PRN Johor lagi.
"Namun ia reda sebentar di sebalik kebimbangan sesetengah pemimpin BN ketika kempen, sama ada parti mampu memenangi kerusi mencukupi bagi menubuhkan kerajaan negeri, berikutan kempen Perikatan Nasional (PN) yang sangat agresif.
"Bagaimanapun, apabila BN akhirnya berjaya dengan kejayaan cemerlang meraih 40 kerusi, khabar angin itu (Onn Hafiz jadi MB) bertiup kencang semula dan semakin kuat hari ini.
"Melihat situasi semasa yang menyaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dititah menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan kenyataan terbaharu Datuk Seri Hasni, seolah-olah sudah ada kompromi untuk memberi laluan kepada Onn Hafiz dilantik sebagai Menteri Besar ke-19," katanya kepada BH.
Terdahulu, Hasni yang juga Pengerusi BN dan UMNO Johor dilapor mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor yang disifatkannya mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.
"Melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri," kata Hasni yang mempertahankan DUN Benut dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Hasni akan menjadi calon tunggal dikemukakan kepada Sultan Ibrahim untuk pertimbangan dilantik sebagai Menteri Besar.
Onn Hafiz, 44, adalah cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar dan jika dilantik sebagai Menteri Besar ke-19, beliau mengulangi sejarah moyangnya itu yang memegang jawatan sama selepas dilantik pada 1 Jun 1947.
Beliau adalah muka baharu yang dilantik ke barisan EXCO Makmur Johor, selepas Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.
Onn Hafiz memegang portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan selain aktif dalam advokasi orang muda termasuk menerusi pertubuhan bukan kerajaan Southern Volunteers, yang ditubuhkan hasil visi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Beliau juga anak saudara kepada Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Kanan Pertahanan.
Sumber | BH Online
No comments
Post a Comment