Perbicaraan kes rasuah melibatkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng bersambung di Mahkamah Sesyen semalam.
Guan Eng berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 (RM6.34 bilion) di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.
Pengerusi DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Media arus perdana memberikan “sedikit” ruangan melaporkan perbicaraan kes rasuah sensasi ini. Semalam di mahkamah Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Nazree Mansor, 32, membacakan rakaman percakapan mendiang Datuk Ewe Swee Kheng bekas Pengarah Urusan Ewein Zanith Sdn Bhd (EZCB) yang dirakamkan di pejabat SPRM Pulau Pinang pada 14 Ogos 2021. Mendiang Ewe yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia, selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang pada 5 Oktober 2021.
Laporan Berita Harian hari ini menyebut:
"YB LGE juga terlepas dari kes mahkamah berkaitan dengan skandal banglo yang dihadapinya yang mana saya (Ewe) tahu YB LGE adalah 'untouchable' pada masa itu,"
Tambah Muhammad Nazree, mendiang juga menyatakan beliau ada mendengar banyak cerita bahawa Guan Eng ada menerima wang daripada syarikat kontraktor, dan beliau perlu menceritakan perkara sebenar kerana jika dirahsiakan hal itu, tiba masa ia akan terbongkar dan menjejaskan perniagaannya.
Menurut saksi itu, Ewe juga menyatakan beliau tidak pernah dipaksa untuk memberi pernyataan itu, dan apa yang diceritakan kepada pihak SPRM adalah perkara yang sebenar, selain memaklumkan pertambahan pernyataan percakapan itu dibuat berkaitan perjumpaan dan pertolongan Guan Eng kepadanya.
Dalam akhbar The Star (muka 8) pula:
“Ewe also said he promised to present the former Penang chief minister (Guan Eng) with several units of the project if he were successful in developing the land into his service apartment project”
(Ewe juga berkata beliau berjanji menghadiahkan Ketua Menteri Pulau Pinang (Guan Eng) dengan beberapa unit (apartment) projeknya jika beliau berjaya membangunkan tanah berkenaan menjadi projek “service” apartment)
Kes ini masih dalam perbicaraan, adakah Guan Eng bersalah ataupun tidak, biarlah mahkamah nanti memutuskan. Tetapi apa yang dilontarkan dalam mahkamah cukup menarik untuk pengetahuan awam.
Apa pun yang lebih menarik adalah gesaan dari bekas Pengerusi DAP Johor dan bekas ADUN DAP Skudai, Dr Boo Cheng Hau agar Pengerusi DAP itu melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi parti bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah.
Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo juga sepatutnya menark diri dari membela Guan Eng di mahkamah kerana bimbang berlaku konflik kepentingan dalam parti.
Kata Dr Boo parti PAP Singapura dan Parti Pekerja Singapura mengarahkan mana-mana pemimpinnya yang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah agar berhenti atau dipecat dari parti.
Tambah Dr Boo, jika DAP sebuah parti yang diurus ikut taraf dunia, atau “world class political party”, Pengerusinya patut melepaskan jawatan. Jika nanti didapati tidak bersalah, kembalilah memimpin parti.
Kita yakin mahkamah akan memberikan keadilan sebaik-baiknya pada semua pihak. Yang bersalah biar dihukum manakala yang tidak dibebaskan. “Good luck Mr Chairman”.
No comments
Post a Comment