Pemain KDA FC, Dennis Buschening (dua kiri) meraikan gol ketiga ketika menentang KL City FC pada perlawanan Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR |
ALOR SETAR: Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk memburu kemenangan kedua menjadi kenyataan apabila menewaskan KL City FC 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Kenari mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Sarawak 1-0 pada aksi pertama minggu lalu.
Walaupun mengasak kubu pelawat pada awal permainan menerusi percubaan Al-Hafiz Harun pada minit keenam, Ronald Ngah (m-19) dan Syafiq Ahmad (m-21), sebaliknya gawang Kedah yang bocor terlebih dahulu.
Selepas menjaringkan gol ketika menentang Selangor minggu lalu, Zhafri Yahya sekali lagi meledak apabila melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti sekali gus menewaskan penjaga gol Kedah Shahril Sa'ari pada minit ke-29.
Kedah yang tersentak dengan gol KL City itu bangkit membuktikan kemampuan di depan 3,000 penyokong dengan gol penyamaan oleh Syafiq Ahmad pada minit ke-32 yang dihasilkan melalui tandukan selepas mendapat hantaran oleh Al-Hafiz Harun.
Pada babak kedua, percaturan Kedah memasukkan Fayadh Zulkifli pada minit ke-66 membuahkan hasil apabila pemain kelahiran Baling itu meledak gol kedua, juga hasil hantaran Al-Hafiz dari garisan tengah padang.
Tidak sampai dua minit, Kedah menghukum sekali lagi benteng pelawat apabila Dennis Buschening menyudahkan hantaran Syafiq.
KL City yang tidak patah semangat merapatkan jurang tiga minit sebelum tamat apabila pemain import, Kevin Koubemba menanduk masuk gol kedua hasil kesilapan Shahril yang gagal menangkap kemas.
Sumber | BH Online
No comments
Post a Comment