NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kasih ibu membawa ke syurga

Ahmad Faiz Ibrahim, bergambar dengan ibunya, Zalina Mohd Kassim dan ayahnya, Ibrahim Yunus, selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-13. - Foto NSTP/NAZDY HARUN

KUALA NERUS: 'Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa'. Itulah gambaran paling sesuai buat seorang graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) apabila belajar ditemani ibunya selama empat tahun sebelum menggenggam segulung ijazah.

Ahmad Faiz Ibrahim, 24, mengidap penyakit Cerebral Palsy sejak lahir dan ibunya, Zalina Mohd Kassim, 47, menjadi pembantunya sepanjang menuntut di universiti berkenaan.

"Pengorbanan ibu amat besar dan tidak ternilai dengan wang ringgit, sanggup bersama saya susah dan senang ketika bergelar seorang pelajar.

"Oleh kerana saya lumpuh dan memerlukan penjagaan terutama dalam pengurusan diri, ibu bersama adik, Ali Saifullah Ibrahim, 8, sanggup tinggal bersama saya di sebuah rumah sewa berdekatan UniSZA dengan kadar sewa RM250 sebulan," katanya yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan.

Ketika ditemui selepas Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-13 UniSZA, Ahmad Faiz berkata, selain mengikuti pengajian dalam bidang ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), beliau turut mengambil sijil tahfiz al-Quran di universiti berkenaan.

"Alhamdulillah, selain dapat menghabiskan pengajian di peringkat ijazah saya juga mendapat sijil hafazan al-Quran. Alhamdulillah, saya kini mampu menghafal 30 juzuk al-Quran," katanya.

Bercerita lanjut, Ahmad Faiz yang juga anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, kebiasaannya kelas al-Quran akan diadakan pada hari minggu menyebabkan beliau bersama ibu dan adik tidak dapat pulang ke Kelantan.

Disebabkan kekangan jadual pembelajaran yang padat hingga ke hujung minggu, Ahmad Faiz berkata, ayahnya, Ibrahim Yunus, 52, akan datang ke UniSZA untuk melawat mereka bertiga.

"Ayah seorang guru dan pada masa sama, perlu mengambil alih tugas ibu menjaga adik yang lain.

"Namun, ayah tetap datang melawat kami di sini kerana kami tidak pulang ke Kelantan berikutan jadual belajar yang padat," katanya yang berhasrat menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang sama di UniSZA selepas ini.

Sementara itu, Zalina bersyukur kerana segala penat lelah dan pengorbanannya menemani Ahmad Faiz mengikuti kuliah, membuahkan hasil.

"Ibu mana yang tidak ingin melihat kejayaan anak-anaknya. Saya berharap anak sulung saya ini berjaya dalam kehidupannya selepas ini dan saya bersama suami akan terus memberi sokongan kepadanya serta adik-adiknya yang lain.

"Syukur, Ahmad Faiz dapat kejayaan berganda kerana dia berjaya menggenggam segulung ijazah dan menghafaz 30 juzuk al-Quran," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo