MANILA: Filipina memanggil duta China memberi penjelasan selepas sebuah kapal tentera laut China dikesan berulang kali berada di perairan negara Asia Tenggara itu secara haram.
Ia menjadi perbalahan diplomatik terbaru antara kedua-dua negara yang saling mengemukakan tuntutan bertindih di kawasan laut, menjadikan Manila dan Beijing tidak dapat dipisahkan dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan.
China 'memiliki' hampir keseluruhan perairan itu tetapi Kementerian Luar Filipina mendakwa kapal dari negara itu didapati memasuki perairan kepulauannya tanpa kebenaran.
Kapal peninjau elektronik kelas Dongdiao dikesan berada di Laut Sulu iaitu laluan air terbesar Filipina pada 29 Januari sehingga 1 Februari, selain berulang kali tidak mengendahkan arahan untuk beredar.
Pengendali kapal itu mendakwa pihaknya menggunakan laluan yang tidak salah ketika ia sampai di Pulau Cuyo, di pinggir Pulau Palawan dan Apo, di luar Mindoro.
"Pergerakannya bagaimanapun tidak mengikut satu laluan yang boleh dipertimbang sebagai berterusan dan pantas, ia berulang kali berada di Laut Sulu selama tiga hari," kata Kementerian Luar sambil mendakwa kapal itu melakukan 'pencerobohan haram'.
Susulan kejadian itu, Kedutaan China di Manila tidak mengeluarkan reaksi balas serta-merta terhadap permintaan untuk memberi komen.
China didakwa menuntut hampir kesemua kawasan perairan di Laut China Selatan, yang menjadi laluan perdagangan dengan nilai bertrilion dolar setiap tahun.
Susulan tuntutan itu, Beijing perlu bersaing dengan Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Beijing pernah mengabaikan keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap yang berpangkalan di The Hague pada 2016, bahawa tuntutan sejarah negara itu adalah tanpa asas.
Ketegangan antara Manila dan Beijing memuncak tahun lalu selepas ratusan kapal China dikesan berada di Whitsun Reef dekat Kepulauan Spratly iaitu kawasan perairan yang menjadi pertikaian.
Pada November lalu, kapal pengawal pantai China melepaskan tembakan meriam air ke arah bot Filipina yang sedang menghantar bekalan kepada anggota marin di Second Thomas Shoal yang turut terletak di Kepulauan Spratly. - AFP
No comments
Post a Comment