KOTA KINABALU: Isu tuntutan yang didakwa datangnya dari Kesultanan Sulu seharusnya diberikan keutamaan
dan diselesaikan kerajaan Persekutuan dan Wisma Putra, tegas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Menurut Presiden Parti Warisan itu, Filipina atau pihak yang mendakwa menjadi waris diraja tersebut tidak
mempunyai sebarang hak untuk membuat sebarang tuntutan.
Ini kerana, tegasnya, Sabah adalah sebuah negeri merdeka dan langkah proaktif perlu dilaksanakan kerajaan.
“Kami berpendirian bahawa Filipina mahupun mana-mana pewaris yang mendakwa diri mereka adalah dari
Kesultanan Sulu tidak mempunyai hak undang-undang untuk menuntut atau membuat tuntutan ke atas Sabah.
“Apa sahaja tuntutan oleh Manila atau waris secara langsung atau tidak, tidak boleh dilayan kerana Sabah adalah
negeri merdeka yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa pertikaian harus diselesaikan oleh Putrajaya dan Wisma Putra serta langkah
proaktif perlu diambil untuk menyelesaikannya dan bukan hanya membiarkannya,” katanya dalam kenyataan yang
dikeluarkan pada Rabu.
Kenyataan tersebut dibuat Mohd Shafie susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Paris untuk
menganugerahkan RM62 bilion kepada pewaris Kesultanan Sulu.
Menurut beliau, Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini telah memberi penjelasan bahawa
Malaysia telah menghentikan percubaan oleh waris yang dipanggil untuk mendapatkan penghakiman di Sepanyol.
“Anehnya kes itu dipindahkan ke Perancis oleh penimbang tara yang sama di Sepanyol dan penghakiman telah
diperoleh di mahkamah Paris pada Feb 2022,” kata beliau lagi.
Penjelasan Mohd Shafie ini juga dibuat berikutan akhir-akhir ini, bekas Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dan
Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee menyindir dan mengatakan wujud penglibatan antara beliau dengan
waris kesultanan terbabit.
Bahkan, tegas Mohd Shafie, beliau turut didakwa berada di Sepanyol ketika kes itu mula diutarakan pada 2019.
“Saya tidak pernah berada di Sepanyol dan sepanjang pengetahuan saya tiada pegawai Sabah pergi ke Sepanyol
berhubung kes itu.
“Saya percaya Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara mengendalikan perkara itu dan berusaha menghentikan
permohonan waris tersebut untuk mendapatkan penghakiman di Madrid.
“Mereka harus membaca penjelasan yang panjang lebar oleh Wisma Putra dan AGC pada 2 Mac 2022 dan apa
yang dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 10 Mac 2022.
“Laporan tersebut jelas menunjukkan perkara itu dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan dan bukan Sabah
mahupun saya,” tegas Mohd Shafie.
Sehubungan itu, Mohd Shafie membidas Anifah dan Yong dengan menyifatkan kedua-dua personaliti itu tidak layak
untuk memberi pandangan mengenai ‘tuntuan Sulu’.
“Anifah tahu kerajaan Filipina tidak mengiktiraf apa yang dipanggil ‘Kesultanan Sulu’ dan melabelkan mereka
‘pengganas’ dan ‘penjenayah’ semasa pencerobohan pada 2013 di Lahad Datu.
“Tiada sesiapa atau mana-mana kerajaan akan mengiktiraf mereka dan dakwaan mereka ke atas Sabah tidak
masuk akal sama sekali,” tambah Mohd Shafie lagi.
Sumber | Facebook Dessa Warisan Sabah
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment