Terdahulu, kes mengedar dadah jenis kanabis yang dihadapi penyampai radio, Isma Halil Hamzah, 49, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Mengikut pertuduhan, Isma Halil didakwa mengedar kanabis dengan anggaran berat 409 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, jam 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.
Isma Halil mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Tinggi di sini, Februari lalu.
Terkini, pada Khamis lalu (24 Mac), seorang penyanyi nasyid lelaki ditahan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini dan pemeriksaan menemui 17 batang pokok ganja di rumah berkenaan.
Dia yang juga komposer turut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 6B ADB 1952.
Artis terbabit kini direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ketika diminta mengulas isu selebriti dalam industri hiburan yang terkait dengan isu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952 ini, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata, semua itu perlu diserahkan kepada mahkamah untuk membuat penghakiman.
"Ia bukan kes pertama (selebriti ditahan mengikut seksyen ini), namun kita tidak boleh terus menghukum mereka ini.
"Ini kerana mereka perlu menghadapi perbicaraan dan mereka belum boleh dikatakan bersalah selagi belum disabitkan dengan kesalahan itu," katanya.
Menurut Freddie, ada yang mengatakan jumlah dadah ditemui adalah besar dan terus menjatuhi hukuman terhadap selebriti berkaitan.
"Kita pun tidak tahu sama ada ia digunakan untuk diri sendiri atau diedar. Ia masih perlu disiasat dan disahkan oleh pihak berkuasa.
"Tidak adil jika kita terus menjatuhi hukuman terhadap mana-mana selebriti yang ditahan sedangkan siasatan atau perbicaraan masih berjalan," katanya.
Pada masa sama, Freddie turut menggesa mana-mana artis yang masih terbabit dengan dadah supaya meninggalkan tabiat itu.
"Berhenti segera, jangan korbankan nyawa kita kerana dadah.
"Kita boleh hidup tanpa dadah. Apa guna dadah kepada badan kita ini," katanya.
Freddie turut meminta mana-mana artis yang mahu meninggalkan tabiat menghisap dadah, namun sukar melakukannya supaya bertemu pihaknya.
Katanya, Karyawan akan berusaha untuk membantu dengan mendapatkan mana-mana pusat pemulihan dengan syarat, artis terbabit memang mahu berhenti menghisap dadah.
Kita akan hilang semuanya: Ameng
Kuala Lumpur: "Saya sudah ada titik hitam dalam hidup, saya harap rakan artis mahupun sesiapa saja jangan tersilap langkah.
"Kita akan hilang semuanya apabila terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Keluarga anak-anak. Jika dia seorang artis, dia akan hilang populariti, jika dia orang biasa orang akan sukar mempercayai dan akan terus dipandang serong."
Demikian nasihat vokalis kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 54, (gambar) yang pernah 'tersalah langkah' dan terjebak dengan penyalahgunaan dadah tidak lama dulu.
Ameng berkata, titik hitam dalam hidupnya itu akan sentiasa ada, namun dia tetap bersyukur kerana kejadian itu menjadi titik tolak perubahan dalam kehidupannya.
"Bayangkan, waktu kena tahan, didapati bersalah, masuk pula penjara, kena sebat. Sehingga sekarang saya boleh merasai kesakitannya dan ia menjadi salah satu faktor perubahan dalam hidup.
"Ketika itu, saya hilang semuanya, hilang populariti, hilang keluarga dan pastinya hilang kepercayaan dalam kalangan rakan serta kalangan peminat.
"Waktu itu, saya mula terfikir musibah yang berlaku pada diri saya ini kerana Allah SWT marah dengan saya, bila marah pasti ada buat silap," katanya kepada Metro Ahad. Dan Alhamdulillah, saya berubah kepada diri yang lebih baik, Insya-Allah," katanya kepada Metro Ahad.
Untuk rekod, Ameng pernah dipenjarakan lapan tahun dengan 10 sebatan pada 2011 atas kesalahan memiliki dadah.
Ameng berkata, tiga amalan yang dilakukannya iaitu menjaga solat, berzikir dan membaca al-Quran menjadikan dia kuat untuk terus istiqomah mengubah kehidupannya berbanding sebelum ini.
"Saya akan pastikan setiap hari saya habis membaca 10 muka surat al-Quran dan dalam seminggu, saya akan menghafal satu muka surat dan ia sudah menjadi rutin dalam kehidupan saya.
"Kehidupan sebagai artis ini memang tidak menentu, namun selepas mengamalkan membaca al-Quran ini, saya dapati kehidupan lebih tenang, Alhamdulillah, ada saja rezeki tidak putus-putus walaupun dalam bermacam persaingan.
"Sekarang pun saya banyak dijemput dalam platform umum untuk berkongsi kisah hidup dan saya harap pengalaman hidup saya ini boleh dijadikan iktibar untuk orang lain," katanya.
'Mungkin dah guna lebih 10 tahun tahun'
Kuala Lumpur: Penagih yang menanam ganja di rumah kebiasaannya sudah lama menggunakan bahan terlarang berkenaan.
Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Ramli Abd Samad berkata, kebanyakan penagihan ganja berkemungkinan sudah menggunakan bahan ini melebihi 10 tahun.
"Ganja yang ditanam di rumah biasanya untuk kegunaan sendiri, mungkin juga penggunaannya turut dikongsi bersama-sama rakan penagih lain.
"Bagi artis yang mengambil dadah, tujuannya untuk menambahkan kreativiti berkarya, lebih berkeyakinan dan tidak gementar apabila menyanyi di pentas bagi seorang penyanyi.
"Namun, tanpa mereka sedar sudah bergantung bahan itu untuk melakukan sesuatu perkara," katanya.
Beliau berkata, ganja ialah tumbuhan yang di dalamnya terdapat dua komponen kimia utama iaitu tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD).
"TCH ialah bahan khayal untuk menambah kreativiti berkarya manakala CBD digunakan untuk perubatan termasuk rawatan barah, epilepsi dan sebagainya.
"Di media sosial, ramai artis antarabangsa menunjukkan penggunaan ganja secara terang-terangan.
"Ini juga boleh mempengaruhi artis Malaysia untuk turut sama menggunakan ganja," katanya.
Ramli berkata, kesan penggunaan ganja adalah lebih rendah berbanding dadah lain.
"Malaysia masih menggunakan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang perlu dipinda mengikut keperluan masa kini.
"Empat artis pernah menjalani rawatan di Pengasih dan mereka sudah keluar daripada pusat ini serta pulih daripada pengaruh dadah," katanya.
No comments
Post a Comment