NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Data orang awam terjamin, KKM tidak jual MySejahtera


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera dijual kepada syarikat swasta dan memberi jaminan data diperoleh diselia kementerian itu sejak ia mula digunakan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata aplikasi berkenaan adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama bagi pengurusan kesihatan awam negara sejak ia diputuskan pada 26 November tahun lalu.

Katanya, kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT), syarikat yang membangunkan aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi itu dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

"Perkara ini adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang menawarkan penggunaan aplikasi MySejahtera kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa bayaran berdasarkan prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

"Sejak dilancarkan, penggunaan aplikasi MySejahtera adalah melalui pendekatan 'perisian sebagai platform perkhidmatan' atau 'software as a service - SaaS'.

"Ia membantu kerajaan mengurangkan masa kitaran diperlukan untuk membangunkan perisian baharu susulan keperluan satu sistem khusus untuk menguruskan pandemik COVID-19.

"Aplikasi MySejahtera adalah platform yang teguh dan dinamik kerana mampu menampung penambahbaikan fungsi aplikasi, selari perkembangan semasa wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta kerajaan memberi penjelasan berhubung keputusan menjual MySejahtera kepada syarikat swasta.

Katanya, langkah itu menimbulkan kebimbangan mengenai pengurusan data peribadi dan kemungkinan wujud penyalahgunaan maklumat kesihatan jutaan rakyat Malaysia.

Khairy berkata, data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak mula digunakan dan segala pengurusan data melalui proses tadbir urus data ditetapkan.

"Penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.

"Justeru, data aplikasi ini tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

"Malah, transaksi data daripada MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi MySejahtera," katanya.

Khairy berkata, kerajaan bersetuju meneruskan perkhidmatan MySejahtera selepas tempohnya tamat pada 31 Mac 2021, atas faktor keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan meneruskan kerjasama dengan pihak syarikat dalam melaksanakan peningkatan fungsi aplikasi sehingga apa yang digunakan ketika ini.

"MySejahtera kini mempunyai lebih 10 modul dan 38 juta pengguna berdaftar membabitkan warganegara, bukan warganegara dan pengembara," katanya.

Pada 26 November lalu, katanya, kerajaan menetapkan KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian merangkumi agensi pemegang taruh berkaitan.

Jelasnya, ia bagi melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras tatacara perolehan kerajaan.

"Skop perolehan dan pengurusan aplikasi ini antaranya merangkumi pengoperasian platform MySejahtera, pembangunan sistem termasuk pembangunan modul tambahan, penyelenggaraan, pengurusan pusat data dan perkhidmatan disediakan pihak ketiga meliputi langganan perkhidmatan Google Map and Places Application Programming Interface (API) dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Melalui surat bertarikh 28 Februari lalu, Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan permohonan KKM melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera dan dimuktamadkan di peringkat kementerian itu.

"Proses rundingan sudah dimulakan dan KKM akan memastikan usaha yang wajar dilakukan bagi memelihara kepentingan kerajaan," katanya.

Khairy menegaskan, kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek itu tidak dikompromi.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo