Keadaan banjir kilat di sekitar ibu kota. Gambar Ihsan Pembaca |
KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan sekitar Lembah KIang termasuk ibu kota di sini, mengalami banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam petang ini.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kenyataan di Facebook, memaklumkan beberapa laluan termasuk Besraya Expressway membabitkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan Kampung Malaysia ke Kuchai ditenggelami banjir.
Banjir kilat yang melanda Lebuhraya Kesas pula menyebabkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan Sukom.
Banjir kilat juga mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong SMART membabitkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.
Serentak itu juga, Terowong SMART ditutup sepenuhnya bagi persediaan operasi untuk membolehkan ia mengalirkan air akibat banjir yang melanda.
Banjir yang melanda menyaksikan ribuan kereta yang letakkan di parkir terbuka dan bawah tanah dalam bangunan sekitar ibu kota ini turut ditenggelami banjir.
Sementara itu, lebih 50 rumah dikesan terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan di sekitar Selangor, petang ini.
Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang Batu Arang, Kampung Melayu Sungai Serai Batu Arang, Kampung Gombak Kuang, Bandar Baru Sungai Buloh dan Kampung Melayu Sungai Buloh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata setakat ini, tiada pemindahan mangsa dilakukan di lokasi berkenaan.
"Macam kejadian banjir di Kampung Gombak Batu Arang, kita terima maklumat pada jam 3.34 petang sebelum mengerahkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dengan satu jentera ke lokasi kejadian.
"Anggota tiba jam 4.08 petang dan mendapati tiga rumah terjejas, namun tidak dinaiki air. Kedalaman air setinggi 0.3 meter dan air semakin surut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sumber | BH Online
No comments
Post a Comment