Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim |
SEGAMAT: Dalam usaha membantu calon berkempen dan mahu memastikan mesej disampaikan dengan berkesan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim bercakap dalam bahasa Tamil ketika berkempen di Chaah malam ini.
Ahli Parlimen Baling itu yang fasih berbahasa Tamil, diiringi calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, Tan Chong dari Barisan Nasional (BN) menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama penduduk dan petugas Jalinan Rakyat (JR) MIC di bandar Chaah yang sebahagian kecil penghuninya berketurunan India.
"Tengok, mereka (kaum India) faham apa yang dicakapkan. Maknanya pertuturan saya betul. Ini antara cara untuk kita beramah mesra berkempen menguasai pelbagai bahasa," kata Azeez sambil disambut sorakan dan tepukan masyarakat setempat yang hadir.
"Walau pun kaum India adalah minoriti di DUN Bekok, tiap satu undi amat bernilai disebabkan pertandingan empat penjuru. Saya sudah memberitahu sahabat saya dalam kalangan masyarakat India serta parti komponen dan badan bukan kerajaan berteraskan India bahawa jangan kehilangan kerusi DUN Bekok," katanya.
Tan Chong akan bersaing dengan Tan Lek Khang Perikatan Nasional (PN); M Kanan (PH) dan Sandra Segaran Aramugan (WARISAN) dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.
Sumber | BH Online
No comments
Post a Comment