Pihak Akademi 'mengutuk' tindakan Will Smith menampar Chris Rock ketika majlis anugerah berlangsung Ahad malam. -Reuters |
TINDAKAN Will Smith menampar muka pelawak Chris Rock ketika majlis anugerah Oscars pada Ahad diselar penganjur acara gemilang itu.
Pihak Anugerah Akademi memaklumkan akan melancarkan siasatan rasmi terhadap pelakon itu susulan tindakannya yang disifatkan keterlaluan, lapor The Telegraph.
Academy of Motion Picture Arts and Sciences mengeluarkan kenyataan rasminya pada Isnin berikutan insiden itu.
"Pihak Akademi tidak menggalakkan keganasan dalam apa jua bentuk.
"Kami secara rasmi telah memulakan siasatan rasmi terhadap kejadian itu dan akan melihat tindakan selanjutnya mengikut undang-undang kecil, tatakelakuan, dan undang-undang California," tulis kenyataan itu.
Will Smith naik ke pentas ketika majlis penyampaian anugerah yang turut disiarkan di seluruh dunia pada Ahad malam dan menampar Chris Rock susulan gurauan pelawak itu mengenai isterinya.
Majlis seakan terhenti seketika apabila rata-rata hadirin dan penonton tergamam melihat situasi yang tidak pernah berlaku dalam sejarah anugerah berprestij itu.
Tidak sampai sejam kemudian, Smith kembali ke pentas untuk menerima anugerah Pelakon Terbaik dalam filem "King Richard".
Walaupun ada suara-suara yang menyokong tindakan disifatkan 'gentleman' oleh Will Smith, namun tidak kurang juga kalangan peminat juga penggiat di Hollywood yang mencadangkan Will Smith dilucutkan daripada menerima anugerah itu.
Penerbit "The Last Samurai dan Blood Diamond" Marshall Herskovitz dalam twitnya menyelar tindakan Will Smith.
“Saya menyeru kepada pihak Akademi, di mana saya adalah ahli, untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap Will Smith.
"Dia memalukan seluruh masyarakat kita malam ini.”
Pelakon "Star Wars" Mark Hamill menggelarkan situasi janggal itu sebagai "momen Oscar paling hodoh pernah terjadi".
Pelawak Kathy Griffin pula berkata: "Biar saya beritahu anda sesuatu, itu satu perilaku yang sangat buruk untuk naik ke atas pentas dan menyerang seorang pelawak secara fizikal."
Whoopi Goldberg, seorang lagi ahli Akademi, berkata: "Mereka tidak akan tarik balik Oscar itu daripadanya.
"Akan ada akibat daripada tindakannya, saya pasti, tetapi saya tidak fikir itu yang akan mereka lakukan."
Majlis anugerah tahunan ke-94 itu dilanda kontroversi apabila Will Smith naik ke atas pentas dan menampar Chris Rock selepas pelawak itu bergurau tentang rambut isteri Will Smith, Jada Pinkett.
Jada Pinkett didiagnos menghidap alopecia, satu masalah keguguran rambut, yang mendorongnya membotakkan kepalanya.
Kejadian itu membuatkan Chris Rock kelihatan terkejut dan tergamam seketika ketika dia cuba meneruskan semula majlis.
Will Smith ketika menerima anugerah Pelakon Terbaik memohon maaf kepada Akademi dan rakan-rakan, namun langsung tidak menyebut nama Chris Rock.
Sumber | AstroAwani
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment