Penduduk setempat membawa jenazah dua pemuda Palestin yang mati ditembak pihak berkuasa Israel, ketika upacara pengebumian di Jenin, Tebing Barat. |
RAMALLAH: Pasukan keselamatan Israel membunuh dua rakyat Palestin selepas mereka diserang ketika membuat tangkapan di utara Tebing Barat, kata polis sempadan Israel dan pihak berkuasa kesihatan Palestin hari ini.
Polis sempadan Israel memaklumkan, beberapa anggotanya bersama polis pengintip masuk ke kem pelarian Jenin untuk menahan seorang suspek 'yang dikehendaki bagi aktiviti berkaitan keganasan'.
"Selepas suspek itu ditahan dan pihak berkuasa meninggalkan kediamannya, serangan senjata api dilancarkan terhadap mereka dari pelbagai arah.
"Ini memaksa anggota yang menyamar di lokasi bertindak balas dengan melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup," katanya.
Ketika polis tiba ke kenderaan mereka, katanya, seorang lagi penyerang melepaskan tembakan terhadap anggota keselamatan itu, 'yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan tepat'.
Kementerian Kesihatan Palestin kemudian memaklumkan, dua lelaki terbunuh dalam pertempuran itu.
Agensi berita rasmi Wafa menamakan kedua-dua mangsa sebagai Abdullah al-Hosari, 22 dan Shadi Khaled Najm, 18.
Wafa turut melaporkan, anggota tentera menahan Jamal Abu al-Heija, seorang bekas tahanan yang dibebaskan.
Menurut agensi berita yang sama, pembunuhan kedua-dua warga Palestin itu mencetuskan 'tunjuk perasan secara besar-besaran' di Jenin.
Penahanan itu adalah antara beberapa siri serbuan berprofil tinggi oleh Israel yang berlaku sejak kebelakangan ini di beberapa bandar di Tebing Barat.
Bulan lalu, tentera Israel membunuh tiga suspek warga Palestin ketika serbuan pada waktu siang di bandar Nablus di utara Tebing Barat.
Israel menawan Tebing Barat daripada Jordan ketika Perang Enam Hari pada 1967. Sejak itu, Israel membina beberapa penempatan di seluruh wilayah itu dan didiami sekitar 475,000 warga Israel.
Penempatan itu dikatakan dibina secara haram dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa. - AFP
No comments
Post a Comment