KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menuntut Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf atas tuduhan beliau meminta bantuan bekas Perdana Menteri itu bagi menghentikan siasatan kes rasuah terhadap dirinya.
Sambil menyifatkan dakwaan itu suatu pembohongan, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan surat tuntutan itu kepada Dr Mahathir.
"Letter of demand (LOD) itu untuk dia (Dr Mahathir) memohon maaf atas pembohongannya
"Saya tidak pernah sekali pun meminta kepada Dr Mahathir supaya siasatan kes rasuah dihentikan," katanya menerusi kenyataan yang dikongsi menerusi media sosial, petang ini.
Dr Mahathir pagi tadi, mendakwa Ahmad Zahid pernah bertemunya meminta supaya siasatan kes rasuah terhadap Presiden UMNO itu dihentikan.
Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) itu mendakwa, pertemuan itu berlaku ketika ada ura-ura bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, ketika itu Ahmad Zahid mahu siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya dihentikan.
Ahmad Zahid berkata, beliau dijemput bersama dengan presiden-presiden parti lain oleh Dr Mahathir untuk menyokongnya bagi membentuk kerajaan perpaduan.
"Mana mungkin saya minta digugurkan tuduhan di hadapan ramai. Saya tidak pernah sekalipun meminta Dr Mahathir untuk berbuat demikian," katanya.
Beliau menjelaskan mana mungkin melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Ketujuh.
"Ini kerana ketika itu saya adalah Timbalan Perdana Menteri dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan," katanya.
Sumber | BH
No comments
Post a Comment