NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Johor penting untuk kekalkan sokongan terhadap BN

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mesti diadakan kerana kerajaan negeri tidak boleh sentiasa 'diugut' oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tertentu yang mahu menarik diri daripada menyokong Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata keadaan politik di Johor sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu dibubarkan amat genting, dengan hanya mempunyai satu majoriti sehingga menyebabkan Speaker DUN terpaksa mengundi untuk meluluskan usul.

"Ini tidak boleh berlarutan. Kerajaan tidak boleh sentiasa diugut, Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) tidak boleh sentiasa di bawah ancaman untuk menarik diri daripada pihak berkenaan.

"Kami melihatnya dengan teliti dan memang ada justifikasi untuk DUN Johor dibubarkan dan Menteri Besar membawa isu ini yang diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

"Jadi, pemberatnya memang ada. Ada orang hendak tekan butang, jadi bukan kita hendak tekan butang, tetapi sekarang, apabila kita tekan butang, dia pula marah. Perkara ini perlu diselesaikan supaya politik Johor aman," katanya selepas menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina di Wisma MCA di sini, hari ini.

Pembubaran DUN Johor mendapat perkenan Sultan Johor pada 22 Januari lalu, sekali gus membawa kepada PRN berkenaan.

Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, berkata PRN itu perlu diadakan berikutan kerajaan negeri berada dalam keadaan amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang, yang mana ia tidak harus berlaku.

Mengenai pembahagian kerusi, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Johor, berkata perkara itu akan diputuskan selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN tidak lama lagi.

Pada masa sama, beliau tidak mahu jentera BN mengambil mudah PRN berkenaan dan strategi perlu disusun dengan baik membabitkan parti komponen.

"PRN Johor ini penting dan tidak semudah disangka. Saya tidak mahu jentera BN ambil mudah kerana terbawa-bawa sentimen menang selesa di Melaka, maka kita menang di Johor.

"Jika kita anggap begitu, ia salah," katanya.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata beliau tidak mahu melayan sebarang spekulasi daripada pihak tertentu berhubung calon parti itu bagi PRN Johor.

Katanya, seperti kelaziman, BN akan berbincang perkara itu dalam semangat musyawarah bagi pemilihan calon dan menyusun strategi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti itu.

"Apa-apa ramalan sekarang, siapa dapat berapa (kerusi), biarlah mereka bercakap. Apa yang penting, forumnya kita akan bincang secara dalaman dan keputusan akan diumum secara rasmi selepas Tahun Baharu Cina," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo