Najib (kiri) dan Blankfein (Foto fail Reuters) |
NEW YORK - Bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner memberi keterangan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat (AS) bahawa satu pertemuan antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Goldman, Lloyd Blankfein berlangsung pada 2009.
Menurut Leissner, antara agenda dalam pertemuan itu adalah bagi menjamin pekerjaan kepada tiga anak Najib di Goldman Sachs sebagai balasan terhadap peluang perniagaan yang menguntungkan untuk bank berkenaan.
ertemuan itu diadakan sebelum urus niaga bon besar bagi 1Malaysia Develompent Berhad (1MDB) berjumlah kira-kira AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion).
Menurut laporan Bloomberg, kenyataan itu dikeluarkan Leissner di hadapan juri pada Selasa dalam prosiding hari kedua berkaitan skim 1MDB.
Leissner, 52, adalah saksi utama dalam perbicaraan jenayah melibatkan bekas pengurus kanan Goldman Sach di Malaysia, Roger Ng
Dalam keterangannya, Leissner menerangkan bagaimana kakitangan bawahannya itu (Ng) dan sekumpulan rakan kongsi Goldman Sachs menyelewengkan wang 1MDB.
Leissner turut memberi keterangan bahawa Ng memberitahunya yang Najib akan datang ke New York bagi melawat anak-anaknya sempena cuti Kesyukuran.
Dia turut memberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low berpendapat ia adalah peluang terbaik untuk Blankfein bertemu Najib bagi urusan bon berkenaan.
Selepas pertemuan itu, Ng memaklumkan Leissner bahawa Najib mahu mendapatkan pekerjaan untuk anak-anaknya di Goldman Sachs.
Menurut Leissner lagi, Ng memaklumkan bahawa beliau pergi ke New York untuk bertemu ketua Goldman dan pada masa sama bertemu anak-anak Najib.
"Baru bertemu tiga anak PM di pangsapurinya, saya bersama Jho di pangsapurinya," menurut e-mel yang dibacakan Leissner kepada juri.
Tambahnya, Ng turut menulis; "Akan berjumpa beliau lagi esok dan akan memulakan langkah untuk mendapatkan tiga anaknya menyertai Goldman Sachs."
Leissner tidak menyatakan keraguan tetapi sebaliknya dengan penuh semangat menjawab, "Bunyinya bagus, mari masukkan mereka."
Beliau menjelaskan alasannya, "Perdana Menteri Malaysia berpotensi menjadi perniagaan yang hebat untuk kami, jadi saya merasakan anak-anak Perdana Menteri bekerja untuk kami berpotensi, bukan hanya untuk Perdana Menteri, tetapi semua yang lain di Asia akan mengambil perhatian."
Akhirnya, Leissner memberi keterangan bahawa dia membantu mendapatkan anak perempuan Najib pekerjaan di TPG.
Menurut Leissner, untuk mengaburkan peranan Jho Low dalam usaha mengumpul dana mereka untuk 1MDB, mereka mengemukakan nama kod untuknya termasuk "rakan" dan "PMO" (untuk Pejabat Perdana Menteri).
Dia memberitahu mahkamah bahawa dia dan Ng - bersama pegawai kanan Goldman Sachs termasuk Andrea Vella, bekas ketua bersama perbankan pelaburan di Asia - menggunakan nama kod itu untuk menyembunyikan sejauh mana penglibatan Jho Low dalam projek pengumpulan dana daripada rakan kongsi lain di bank itu.
"Sekiranya kami menaikkan namanya dalam kapasiti sebenar, kami tidak akan diluluskan" oleh pegawai pengawasan Goldman Sachs.
"Ia adalah bendera merah (red flag) yang akan menghentikan transaksi itu," kata Leissner.
Beliau turut memberitahu juri bagaimana kumpulan yang sama memutuskan untuk mengakui beberapa tahap penglibatan Jho Low kerana dia sudah pun dikaitkan secara terbuka dengan 1MDB.
Apabila ditanya oleh kakitangan pengawasan, Leissner berkata, mereka bersetuju untuk mengatakan Jho Low mempunyai kaitan dengan dana terdahulu 1MDB dan bahawa dia mempunyai hubungan dengan Abu Dhabi, di mana entiti kerajaan telah bersetuju untuk memberikan sokongan untuk 1MDB.
"Kami telah memutuskan bahawa langkah itu akan selamat," katanya.
Leissner mengaku bersalah atas kesalahan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan pegawai asing.
Ng pula didakwa bersubahat dengan Leissner bagi pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah di AS. - Agensi
Sumber | Sinar Harian
............oo000oo...........
PENAFIAN
1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
No comments
Post a Comment