KUALA LUMPUR – Kerajaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa supaya segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan pengharaman buku Gay is OK! the Christian Perspective.
Pemuda Perikatan Nasional (PN) Selangor berpendirian langkah itu perlu disegerakan bagi memastikan buku itu terus kekal dilarang selama-lamanya di negara ini.
Ketua Armada Negeri Selangor merangkap Timbalan Pemuda PN Selangor, Sallahudin Mustapa berkata, tindakan tegas perlu diambil ke atas penulis buku itu Ngeo Boon Lin yang melakukan kesalahan mempromosi homoseksual yang terang-terangan bercanggah budaya di Malaysia.
“Pemuda PN Selangor merayu agar AGC segera memfailkan rayuan dalam kes ini memandangkan Mahkamah Tinggi semalam telah membatalkan larangan yang dikenakan kerajaan terhadap buku itu sebelum ini.
“Kami juga menyeru persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan agama lain di negara ini turut bersama-sama bangkit melawan budaya songsang ini daripada mempengaruhi dan menghancurkan budaya Timur kita yang terpelihara selama ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Beliau bersama Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Muhammad Hanif Jamaluddin tampil ke IPD berkenaan dan membuat satu laporan polis mendesak pihak berkuasa bertindak serius dalam soal buku mempromosi hubungan seks songsang itu.
Menurutnya, pihaknya sedia berjumpa dengan pihak AGC sebagai usaha untuk meminta mereka menyegerakan proses rayuan kes ini ke Mahkamah Rayuan.
“KDN sudah bawa isu ini ke mahkamah dan keputusan semalam memihak kepada pihak penulis dan penerbit buku itu. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini begitu sahaja dan ikut kesesuaian kita yang majoritinya penganut Islam di Malaysia buku ini tidak sesuai dikeluarkan sini dan ia perlu dibatalkan dan diharamkan segera,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Hanif mahu buku itu diharamkan serta merta tanpa kompromi.
“Kami memandang serius akan isu keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang membatalkan perintah larangan ke atas buku ini oleh kerajaan sebelum ini.
“Buku ini jelas mempromosi budaya songsang yang bercanggah dengan ajaran Islam serta moral masyarakat Malaysia. Walaupun Malaysia adalah sebuah negara demokrasi namun moral dan nilai murni masyarakat Malaysia harus terpelihara daripada dicabul budaya songsang sebegitu,” tegasnya.
Beliau juga menjelaskan hubungan sonsang bukan sahaja tidak dapat diterima agama Islam bahkan turut tidak akan dilayan oleh agama lain di negara ini.
“Maka kami PN mendesak agar kerajaan segera mengambil tindakan ke atas penulis buku dan penerbit Gerak Budaya Enterprise yang bertindak sedemikian jelas bercanggah dengan moral dan budaya Malaysia serta ia mestilah dihentikan selain disekat daripada membawa pengaruh buruk kepada masyarakat Malaysia.
“Kebebasan dalam apa jua media sosial, penerbitan dan sebagainya mesti berdasarkan kawalan akta-akta sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Hakcipta dan sebagainya.
“Jika tida diambil tindakan segera, pastinya penerbitan buku seperti ini yang mempromosi kegiatan tidak bermoral ini sukar untuk dibendumg dan akan diperluaskan pada masa akan datang,” tegasnya.- MalaysiaGazette
No comments
Post a Comment