Aksi pemain Chelsea ketika menentang Lille di Stamford Bridge, London, Britain. - Foto Reuters |
LONDON: Chelsea menunjukkan mereka boleh mencipta kemenangan tanpa Romelu Lukaku apabila Kai Havertz meledak selepas menggantikan penyerang Belgium itu ketika kemenangan 2-0 pada aksi pusingan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara menewaskan Lille sebentar tadi.
Skuad kendalian Thomas Tuchel mengawal pertemuan itu hasil tandukan babak pertama Havertz dan penyudah baik Christian Pulisic selepas rehat di Stamford Bridge.
Juara bertahan itu dijangka akan melengkapkan kemaraan ke suku akhir apabila berkunjung ke Perancis untuk pusingan kedua 16 Mac nanti.
Namun kemenangan keenam berturut-turut Chelsea dalam semua kejohanan lebih terarah kepada penurunan prestasi Lukaku berbanding peluang mereka untuk mengekalkan trofi.
Lukaku hanya menjaringkan 10 gol sejak berpindah dari Inter Milan tahun lalu selepas dijangka akan mempertahankan dominasi Chelsea.
Dia hanya tujuh kali menyentuh bola ketika menang 1-0 mengatasi Crystal Palace Sabtu lalu, paling rendah dalam kalangan pemain Liga Perdana sejak 2003-04.
Walaupun berang dengan kenyataan terbuka Lukaku pada Disember yang mempersoalkan cara dia digunakan pasukan, Tuchel tampak terus menyokongnya Isnin lalu dengan mengatakan ia bukanlah satu jenaka.
Bagaimanapun Chelsea lebih mengancam tanpa kehadiran Lukaku dan masih belum pasti sama ada Tuchel akan terus mempercayai bintangnya itu pada final Piala Liga menentang Liverpool Ahad ini.
"Bagi Kai, saya sangat gembira. Dia sangat kuat untuk beberapa minggu ketika ini. Dia benar-benar meningkatkan permainan. Kerja kerasnya terbukti. Dia banyak mengawal padang dan ia bagus untuk kami. Dia tidak pernah malu untuk bertahan," kata Tuchel.
"Romelu bergelut dalam perlawanan terakhir untuk memberikan yang terbaik. Bukan hanya keletihan mental, tapi juga fizikal, yang saya fahami. Ia masa untuk mengundur diri.
"Hari ini kami mengggunakan pemain lain. Untuk Ahad kami ada empat hari untuk pulih dan akan membuat keputusan siapa akan bermain." - AFP
Sumber | BH Online
No comments
Post a Comment