Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin berkata cadangan yang dibuat oleh Parti Warisan (WARISAN) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) sangat bertepatan ketika ini.
“Walaupun kerjasama itu hanya perbincangan awal tetapi ia pasti akan mendapat sokongan ramai pihak yang mahukan kedua-dua negeri ini bersatu.
“Dengan kerjasama itu, sudah pasti potensi untuk kedua-dua negeri borneo mendapatkan lebih banyak kuasa autonomi dan peruntukan daripada persekutuan akan tercapai,” katanya dalam kenyataannya di sini semalam.
Katanya, Perikatan Borneo dilihat akan memberi harapan baharu kepada rakyat di kedua-dua negeri untuk pembangunan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Kita juga menyedari rakyat sudah mula bosan dengan politik dari Semenanjung terutamanya insiden ‘Langkah Sheraton’ mengakibatkan berlakunya kemelut politik yang berpanjangan.
“Negara kini menemui jalan buntu untuk memulihkan keadaan politik dan memerlukan pemimpin baharu yang adil serta tanpa rasuah untuk memimpin Malaysia,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua negeri borneo seperti saudara kandung sebelum pembentukan Malaysia dan perlunya menjadi satu kuasa yang kuat pada masa akan datang.
“Kerjasama yang bakal terbentuk itu nanti sudah pasti akan membentuk satu pentadbiran yang lebih kuat dan digeruni oleh pemimpin di Semenanjung.
“Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan menandakan permulaan baharu bagi Sarawak dan Sabah dari segi penyusunan semula status wilayah.
“Justeru, Malaysia perlu formula baharu bagi membentuk semula landskap politik yang lebih demokrasi di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya.
Sumber | Utusan Borneo Online
No comments
Post a Comment