MELAKA: Ketua jurulatih Melaka United musim lalu, Zainal Abidin Hassan mengucapkan terima kasih kepada pengurusan kelab itu selepas menyelesaikan tunggakan tiga bulan gajinya dan pemain, petang tadi.
Menurutnya, dia mengucapkan terima kasih khusus buat Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Wira Justin Lim, Pengarah, Datuk Hidzir Ahmad serta seluruh warga kelab dan KenTEAM Sdn Bhd.
"Biarpun Melaka United dilanda dengan isu tunggakan gaji musim lalu, saya dan pasukan ketika itu tetap menaruh kepercayaan kepada kelab dengan terus memberikan yang terbaik sepanjang saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
"Kami sedar dan memahami dengan keadaan yang dihadapi kelab ketika itu sehingga timbul isu tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai pasukan, namun segalanya dapat diselesaikan sehingga akhirnya kami menerima keseluruhan gaji yang tertunggak petang ini," katanya.
Zainal berkata, penyelesaian tunggakan itu hasil usaha semua pihak di Melaka United terutama Justin yang berusaha sebaik mungkin dalam memastikan isu terbabit dapat diselesaikan segera.
Katanya, ia juga bagi memastikan perancangan kelab bagi musim akan datang tidak terjejas dengan isu-isu yang berbangkit.
"Akhir kata saya mendoakan semoga Melaka United akan lebih berjaya pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, peminat skuad Hang Tuah masih menanti pengumuman barisan pemain baharu dan barisan kejurulatihan skuad berkenaan.
Sama ada Zainal kekal atau tidak, ia dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
--AMANZ
No comments
Post a Comment