NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Johor: Amanah perlu tinggalkan DAP untuk bekerjasama dengan PAS; pemimpin Bersatu sokong kerjasama PN-pembangkang

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata, Amanah perlu meninggalkan DAP terlebih dahulu jika ingin bekerjasama dengan PAS pada PRN Johor.

BATU CAVES: PAS boleh bekerjasama dengan parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor tetapi memberi syarat Amanah perlu meninggalkan DAP terlebih dahulu, kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

“Kita boleh dengan Amanah tapi dengan syarat dia tinggalkan DAP,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai cadangan seorang bekas ahli jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman supaya kerjasama blok pembangkang diperluaskan kepada parti dalam Perikatan Nasional (PN) jika mahu menundukkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN negeri itu.

Mazlan berkata, PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA

Katanya, jika PH yang dianggotai PKR, Amanah, DAP dan UPKO kekal berada pada status quo ketika PRN Johor seperti di Melaka dan Sarawak, ia ibarat “serah tengkuk” kepada BN.


Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Naaman secara peribadi menyokong kerjasama antara PN dengan blok pembangkang dalam menghadapi keangkuhan dan kegopohan Umno, BN dalam PRN Johor.

Beliau berkata, fokus seluruh rakyat khususnya para pengundi di Johor wajar disatukan bagi membenam “kluster mahkamah” serta pihak yang mendukung golongan itu dalam Umno.


“(Ia) mempersulitkan rakyat pada saat masalah penularan varian Omicron dan kegawatan ekonomi ini,” katanya

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai persediaan PAS membariskan senarai calon menjelang PRN berkenaan, Idris berkata, perkara itu akan didedahkan pada hari penamaan calon.

“Tunggu sehingga penamaan calon…dalam penamaan calon nanti awak tengok calonnya siapa. Saya bertanding sana ke atau macam mana,” katanya selepas merasmikan Program Agropreneur Asnaf di Darul Kifayah di sini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), hanya seorang wakil PAS Johor memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, iaitu Najib Lep di DUN Bukit Pasir.

Sumber | FMT Online 

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo