Minggu lalu, rata-rata calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menerima keputusan peperiksaan percubaan mereka. Walaupun masing-masing teruja dengan deretan A yang diperoleh namun terdapat juga segelintir pelajar mula gelisah. Ia tentu saja disebabkan keputusan peperiksaan percubaan yang tersasar daripada jangkaan.
Dalam tempoh kurang dua bulan menjelang tarikh sebenar SPM, inilah saat paling kritikal untuk calon menyemak semula kesilapan yang dibuat selain mempertingkatkan lagi usaha untuk mendapat gred lebih baik.
Tempoh dua bulan terakhir ini adalah masa pertarungan penuh debar dengan sekolah menggandakan kelas tambahan selain pusat tuisyen turut memperkenalkan pelbagai program misalnya 'kelas pantas' bagi memastikan pelajar cukup bersedia menjelang peperiksaan sebenar Mac nanti.
Soalnya, adakah keputusan percubaan ini boleh dijadikan kayu ukur hasil sebenar SPM nanti? Sejak kebelakangan ini terdapat banyak perbincangan mengenainya dalam kalangan ibu bapa, guru, pentadbir, pembuat dasar, ahli akademik dan pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan.
Adakah ia bayangan yang 'adil' dan mencerminkan keputusan sebenar pencapaian penguasaan ilmu seseorang murid. Atau ia mestilah dianggap peluang terbaik untuk pelajar lebih gigih berusaha bagi memperbaiki diri menjelang peperiksaan sebenar.
Dari segi bidang ilmu berkaitan penilaian pencapaian penguasaan ilmu dalam kalangan murid, ada beberapa pertimbangan yang boleh dikupas sebelum kita membuat kesimpulan dan menjawab persoalan berkaitan hal ini.
Pertamanya, mengapa peperiksaan diadakan? Ia dilaksanakan bagi menilai sejauh mana pencapaian pelajar dalam menguasai ilmu pengetahuan sepanjang berada di sekolah. Dalam konteks SPM, ia bermaksud penilaian terhadap pemahaman dan pencapaian mereka sehingga ke peringkat akhir pengajian persekolahan menengah. Justeru, SPM perlu dilihat sebagai medan untuk menilai keseluruhan penguasaan pengetahuan pelajar.
Peperiksaan juga perlu dilihat sebagai medan penilaian pelajar secara berterusan untuk setiap mata pelajaran. Ia sesuai dilaksanakan setelah pelajar sudah pun mendapat pendedahan kepada subjek yang diambil melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Apatah lagi, kaedah pengajaran pula dibuat secara berkualiti dan terancang seperti mana yang terkandung dalam kurikulum sekolah serta terpakai secara seragam di seluruh negara.
Justeru, sekiranya pelajar sudah pun mendapat pendedahan secukupnya di sekolah, maka dalam konteks peperiksaan percubaan yang dibuat, ia bolehlah dilihat sebagai peperiksaan sebenar SPM. Bezanya, ia diawalkan beberapa bulan daripada tarikh peperiksaan sebenar. Ia adalah satu 'percubaan' bertujuan mengukur penguasaan pelajar dalam mata pelajaran yang diambil. Selain itu ia juga adalah kaedah bagi guru mengenal pasti kemampuan dan kelemahan pelajar sebelum menduduki peperiksaan sebenar. Ia juga membuka ruang kepada pelajar untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan keupayaan sebelum 'bertarung' dalam peperangan sebenar.
Namun, dalam beberapa situasi misalnya permohonan biasiswa dan
juga kemasukan ke universiti, keputusan percubaan SPM ada kala boleh dipertimbangkan. Malah, melaluinya juga pelajar sudah boleh membuat peta laluan mereka untuk memilih bidang pengajian di universiti. Justeru, bagaimanakah kita boleh mengukur keputusan peperiksaan percubaan menjadi cerminan hasil SPM sebenar?
Faktor masa
Dalam hal ini, ia banyak bergantung pada jarak masa antara keduanya. Sela masa antara peperiksaan percubaan dan sebenar sewajarnya tidak terlalu panjang. Semakin dekat jarak antara kedua-duanya maka semakin rapatlah cerminan keputusan sebenar pencapaian penguasaan ilmu pengetahuan pelajar.
Kualiti soalan percubaan
Selain dari faktor masa, hal yang paling utama bagi memastikan sejauh mana keputusan peperiksaan percubaan mampu mencerminkan keputusan sebenar sangat bergantung kepada kualiti, jenis dan kaedah soalan yang disediakan.
Sekiranya soalan peperiksaan yang disediakan adalah berkualiti dan setara dengan soalan peperiksaan sebenar SPM, maka bolehlah kita kaitkan persamaan hasil antara kedua-duanya. Di sinilah cabaran yang utama, iaitu bagaimana pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia boleh memastikan wujudnya keseragaman dari segi kualiti soalan peperiksaan percubaan di semua peringkat, baik di sekolah, daerah dan negeri.
Hal ini bagi memungkinkan keputusan pentaksiran peperiksaan percubaan itu mampu mencerminkan keputusan sebenar pencapaian pelajar menguasai ilmu pengetahuan. Justeru, saya melihat dalam hal ini, setelah kita mengambil kira pertimbangan tujuan, jarak masa dan kesetaraan kualiti soalan peperiksaan percubaan dengan peperiksaan sebenar juga keseragaman antara sekolah, daerah dan negeri barulah kita boleh menjawab sejauh mana keputusan percubaan mencerminkan keputusan sebenar murid dalam peperiksaan SPM.
Satu hal yang perlu diingat, SPM sangat penting dalam perjalanan hidup sebagai pelajar. Ia adalah tiket berharga yang digunakan dalam menentukan laluan masa depan murid untuk melanjutkan pengajian, mendapatkan pekerjaan dan sebagainya.
Justeru, semua pihak perlu benar-benar duduk semeja berbincang dan membuat pertimbangan supaya keputusan yang dibuat akan memberikan manfaat kepada semua pihak terutamanya kepada pelajar kerana pada akhirnya ia membabitkan masa depan mereka.
Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM
--BH
No comments
Post a Comment