NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kriket, Pat Cummins dan Usman Khawaja, contoh nilai kesukanan terpuji

SYDNEY: Arak menyebabkan ahli sukan Muslim berdepan masalah untuk meraikan kemenangan dalam pertandingan antarabangsa seperti yang dilalui oleh pemain kriket Australia, Ahad lalu.

Pemain kelahiran Islamabad, Pakistan, Usman Khawaja, melompat dari pentas apabila rakan sepasukannya membuka penutup botol champagne untuk menyembur arak bagi meraikan kemenangan 4-0 Australia terhadap England dalam Siri Ashes.

Klip video memaparkan Usman, melompat dari pentas di Hobart’s Bellerive Oval untuk mengelakkan terkena semburan champagne menjadi viral di media sosial.

Namun, Usman bernasib baik kerana kapten pasukannya, Pat Cummins, yang menyaksikan tindakan itu, segera meminta rakan sepasukan lain meletakkan botol arak di tepi dan memanggilnya kembali ke pentas dengan menggunakan gerak isyarat tangannya.

Usman yang bermain dalam dua perlawanan terakhir siri lima perlawanan ujian, kembali ke pentas dan berlutut di sisi Cummins ketika anggota pasukan itu bersorak riang di hadapan kamera.

Tindakan Cummins memastikan Usman, pemain kriket Muslim pertama Australia, tidak terkena arak ketika meraikan kemenangan itu.

“Anggota pasukan kami datang dari pelbagai latar belakang. Perbezaan ini perlu diraikan. Anda mahu memastikan setiap orang selesa menjadi sebahagian pasukan ini.

“Mereka (anggota pasukan) sangat menakjubkan di ruang itu. Mereka selalu memerhatikan antara satu sama lain. Kami benar-benar sebuah kumpulan yang rapat,” kata Cummins.

Cummins berpandangan bahawa antara faktor menyebabkan mereka mengenepikan botol arak itu kerana sikap saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain serta mahu memastikan setiap anggota pasukan diabadikan dalam foto.

Usman yang bermain buat kali pertama perlawanan ujiannya dalam tempoh lebih 2 tahun, memukul ratusan kali setiap kali gilirannya dalam perlawanan keempat di Sydney.

Memulakan giliran di Hobart, pemain kidal itu membuat 6 dan 11 jaringan, serta muncul sebagai penjaring kelima tertinggi dalam lima perlawanan siri ujian itu.

Usman menjadikan Twitter sebagai platform untuk mengucapkan terima kasih kepada Cummins kerana memberikan gerak isyarat supaya kembali ke pentas.

“Saya menghargai tindakan rakan sepasukan yang sanggup menghentikan meraikan kemenangan dengan champagne supaya dapat bersama mereka. Nilai ini dalam sukan sangat penting. Saya berpendapat kami sedang bergerak ke arah yang betul,” katanya.

Tindakan Cummins memberi gerak isyarat dipuji peminat, termasuk mantan pemain kriket England, Isa Guha yang berkata: “pemimpin yang baik sentiasa melihat pasukansecara keseluruhan dan menghormati setiap orang secara saksama.”

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo