NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KPM pastikan sekolah bersemuka 2022 dapat dilaksana

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) komited memastikan sesi persekolahan secara bersemuka untuk sesi 2022 dapat dilaksanakan sepanjang tahun ini melalui pelaksanaan beberapa inisiatif, antaranya pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya juga akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pelajar dapat hadir bersemuka ke sekolah walaupun menyedari terdapat risiko peningkatan jangkitan COVID-19.

"Kita sudah minta Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah memastikan SOP sentiasa dipatuhi terutama pemakaian pelitup muka dan pengudaraan.

"Pengudaraan ini satu komponen yang kita sentiasa tekankan, bukan saja dalam kelas tetapi juga di bilik guru dan bilik khas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan komputer riba dan pelan data sumbangan wang wakalah zakat kepada 42 penerima anak asnaf dari sekolah rendah dan menengah di sekitar Putrajaya.

Sementara itu, Radzi berkata, KPM pada tahun ini akan menumpukan kepada pembangunan kurikulum baharu.

"Kurikulum ni ada kitarannya dan untuk tahun ini, kitarannya sudah tamat. Bermakna murid Tahun Enam sudah lengkap kitaran kurikulum semasa.

"Kita ambil kira semua pandangan yang diberikan dan insya-Allah kita akan pastikan supaya pembangunan kurikulum ini dapat mengambil kira bukan saja pandangan tetapi keadaan dan persekitaran di luar sana.

"Ini bagi memastikan anak-anak kita bersedia apabila mereka keluar dari sistem pendidikan dalam tempoh enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.

"Pada waktu itu, apa yang dipelajari masih relevan dengan keadaan semasa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, KPM juga sedang membangunkan satu sistem yang merekod dan menyimpan aset serta bil utiliti sekolah bagi meminimumkan pembaziran.

Beliau berkata, sepanjang lawatannya selama 22 bulan ke lebih 277 institusi pendidikan, didapati berlaku pembaziran air berikutan bil air yang mencecah ribuan ringgit walaupun ketika sekolah ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita sedang bangunkan satu sistem supaya semua bil air ini diletakkan dalam satu papan pemuka. Pengetua dan guru boleh melihat bil air mereka berbanding sekolah lain dan melihat sekolah mana yang bil airnya melebihi kadar ditetapkan.

"Ini juga membolehkan kita melihat apa punca pembaziran itu atau mungkin paip lama yang bocor di bawah sana (tanah). Bila kita tahu puncanya, kita boleh melaksanakan intervensi yang lebih cekap untuk jimatkan perbelanjaan utiliti," katanya.

Selain itu, Radzi berkata, satu sistem pengurusan inventori yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan bertujuan merekodkan aset di sekolah supaya aset yang tidak digunakan boleh dipindahkan ke sekolah lain yang memerlukan. - BERNAMA



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo