NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kastam gagalkan cubaan seludup air zam zam

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Sazali Mohamad (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian air zam zam yang dirampas pada sidang media di Menara Kastam, Johor Bahru. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan penyeludupan rokok putih dan air zam zam bernilai lebih RM8.7 juta menerusi dua operasi berasingan di sini.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad, berkata operasi membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 43 tahun iaitu pemandu bersama kelindan lori.

Katanya, pihaknya merampas 3,000 liter air zam zam bernilai RM66,000 di laluan keluar cawangan eksport, Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, di sini.

"Menerusi pemeriksaan kira-kira jam 3.45 petang pada 30 Disember lalu, sebuah lori ditahan selepas didapati membawa 600 botol air zam zam yang dipercayai cuba dibawa ke negara jiran.

"Modus operandi ialah membuat ikrar tidak benar dan lori turut membawa dagangan lain termasuk peralatan mandian, minyak urut dan peralatan sembahyang.

"Dipercayai memang ada permintaan dari negara jiran terhadap air zam zam itu dan sampel sudah dihantar ke Jabatan Kimia pada 2 Januari lalu bagi melihat ketulenannya," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, hari ini.

Beliau berkata, dua individu iaitu pemandu bersama kelindan berusia 21 dan 30 tahun ditahan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Dalam operasi berasingan, Sazali berkata, sebanyak 7.92 juta batang rokok putih bernilai RM3.16 juta dan jumlah duti serta cukai berjumlah RM5.54 juta yang diimport dari luar negara dirampas.

"Rokok dipercayai tidak dibayar duti kastam itu dirampas menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Bay Pemeriksaan Kontena, Pelabuhan Pasir Gudang, kira-kira jam 11.45 pagi, 28 Disember lalu.

"Modus operandi adalah dengan membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan iaitu dagangan diikrar sebagai aksesori kabinet bagi mengelak dikenakan cukai tinggi dan permit import.

"Seorang lelaki tempatan daripada syarikat perkapalan berusia 43 tahun ditahan, manakala kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.


--BH


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo