SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meneliti dari pelbagai sudut sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan tindakan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang memandikan seorang remaja seperti 'jenazah' selepas didapati cuba mencuri tabung masjid seperti yang tular di media sosial.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata jabatan itu maklum mengenai isu yang tular terbabit dan akan membuat penelitian dari semua sudut.
"Bagaimanapun, JAIS menasihatkan semua pegawai dan AJK masjid di Selangor sentiasa bertindak dengan bijaksana dalam semua perkara membabitkan pentadbiran hal ehwal masjid dan kariah.
"Pegawai dan AJK hendaklah sentiasa mengawal tingkah laku serta percakapan dan keputusan yang dibuat perlu dalam semangat mewujudkan posisi menang menang untuk pihak yang terbabit.
"Keputusan itu juga harus menguntungkan umat Islam dan Islam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, semalam.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.
Bagaimanapun, pelbagai pihak menyifatkan tindakan memandikan remaja berkenaan seperti jenazah adalah keterlaluan.
--BH
No comments
Post a Comment